Kenyataan Media Setiausaha Agung DAP Anthony Loke
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP telah bermesyuarat pada malam ini untuk memutuskan soal calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk Pilihanraya Negeri yang akan datang.
Jawatankuasa ini yang diketuai oleh saya dan dianggotai oleh Sdr Lim Guan Eng (Pengerusi Kebangsaan), Sdr Gobind Singh (Timbalan Pengerusi), Sdr Nga Kor Miing (Naib Pengerusi) dan Sdr M. Kulasegaran (Naib Pengerusi) secara sebulat suara menamakan Sdr Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.
Keputusan ini telah dimaklumkan kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Jawatankuasa ini yang merupakan kepimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan EXCO Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk Kerajaan Negeri.
Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam Pilihanraya Negeri kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan. Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon.