KOTA KINABALU: Hujan lebat sejak tenghari tadi menyebabkan beberapa kawasan di bandaraya Kota Kinabalu dilanda banjir kilat.
Tinjauan Jesselton Times mendapati hujan lebat itu telah mengakibatkan beberapa kawasan rendah terjejas dan beberapa laluan utama ditenggelami air sehingga menyukarkan kenderaan ringan melalui jalan tersebut.
Antara kawasan terjejas banjir itu ialah
Jalan UMS ke IB selekoh flyover baharu,
ABX Kolombong, bahagian depan Hospital Queen Elizabeth, Roundabout Shell Menggatal, Batu 7 Inanam, Indah Permai,
Jalan UCA 2 dan Kolombong (Jalan Kilang).
Banjir kilat itu telah menyebabkan kesesakan namun keadaan mula reda pada lewat petang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan
ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang akan berlaku di perairan barat Sabah dan utara Sarawak selama tiga hari mulai Khamis ini.
Berdasarkan ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan MetMalaysia pada 2 petang Selasa itu, keadaan itu diramal berlaku berikutan satu sistem tekanan rendah dijangka terbentuk di barat Filipina dan bergerak ke arah barat laut menuju ke selatan China.