Keputusan rayuan najib untuk gugur peguam wakili Tommy Thomas dalam saman RM1.9 juta pada 11 Ogos

PUTRAJAYA:  Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos ini untuk memutuskan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam perbicaraan saman RM1.9 juta oleh bekas perdana menteri itu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah berkata mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah dan kes-kes yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dalam saman itu.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib dan peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas.
Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung, yang merupakan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Thomas dalam samannya (Najib).
Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.
Beliau mendakwa tidak wajar Gomez dan Lai mewakili Thomas kerana mereka dari firma guaman yang sama dengan Thomas.
Najib menyaman Thomas dengan mendakwa telah dituduh di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selari dengan perancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib yang difailkannya terhadapnya (Thomas). Rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman  akan didengar pada 4 Okt.
Terdahulu semasa berhujah Firoz, beliau menumpukan kepada Peraturan 5 Peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan Etiket) 1978 yang menyatakan bahawa peguam tidak seharusnya menerima sesuatu kes sekiranya sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional.
Beliau mempersoalkan sama ada peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mengekalkan kebebasan profesional itu dan berhujah bahawa peguam dari firma guaman yang sama tidak seharusnya mewakili rakan kongsi, perunding atau peguam lain dalam perkara yang menjadi perbalahan.
Thomas ialah pengasas firma guaman. Beliau menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
Firoz berkata Thomas mempunyai kepentingan kewangan di firma guaman itu, sambil menambah bahawa dengan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas bertindak untuknya (Thomas), ia akan mewujudkan konflik kepentingan.
Sementara itu, Gomez membalas dengan mengatakan Thomas, sebagai perunding dalam firma itu, tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam firma tersebut.
Beliau berkata saman yang difailkan terhadap Thomas adalah kerana dakwaan melakukan misfeasans dalam jawatan awam semasa beliau menjadi Peguam Negara dan bukan sebagai rakan kongsi firma itu, sambil menambah bahawa tiada konflik kepentingan yang menghalang mereka daripada mewakili Thomas kerana mereka tidak terlibat dalam pertuduhan 1MDB, perkara utama saman Najib.
Najib hadir dalam perbicaraan rayuannya hari ini. Isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Datuk Mohamad Nazifuddin turut menghadiri prosiding itu.
Peguam lain yang turut mewakili Najib dalam rayuan itu ialah Daniel Annamalai, Woo J Enn dan Melody Tham Cheng Yee manakala Lai dan Haikaldin Mahyidin juga mewakili Thomas.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles