Ewon rasmi PEA akademi e-sports pertama di Pantai Timur

KUANTAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Pahang Esports Academy (PEA) akademi esport pertama di Pantai Timur milik Koperasi Esports Pahang Berhad, di sini, semalam.

Advertisements

Akademi esport itu dibangunkan oleh koperasi belia Pahang bertujuan memberi didikan kepada atlet esports agar lebih berjaya dalam bidang itu.

Dalam sesi dialog bersama Anak-Anak Muda Berkoperasi sempena sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) 2023 di pusat akademi itu, Ewon memuji kesungguhan usahawan muda menubuhkan koperasi itu.

“Gerakan koperasi sememangnya memerlukan tenaga muda dan idea yang baharu agar dapat berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara,” katanya.

Ewon berkata, kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pelbagai pembiayaan untuk semua koperasi termasuk yang terlibat dalam industri e-sport.

“Selain Kuskop, kementerian lain yang berkaitan juga mempunyai dana yang boleh membantu membangunkan industri e-sport di Malaysia, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD),” katanya.

Sementara itu Pengerusi Koperasi Esport Pahang Berhad (KEPB) Amirul Shafiq berkata, KEPB ditubuhkan untuk memberi didikan berkaitan koperasi, perniagaan dan e-sports kepada golongan belia.

“KEPB menjalankan perniagaan berkaitan pengurusan program, penyewaan peralatan, penyediaan bengkel, seminar, kursus dan kem motivasi berkaitan sukan.

“Kami juga memberikan pandangan positif terhadap orang awam tentang industri esports, di mana industri ini mampu menjana sumber pendapatan dalam era moden,” katanya.

Amirul berkata, antara objektifnya adalah menyediakan dan mentadbir industri esport melalui sistem pengurusan berkualiti dan inivatif selari dengan arus permodenan.

Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Rusli Jaafar dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Ali Mansor.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles