KOTA KINABALU : Sabah pernah menjadi kuasa utama atau “powerhouse” dalam sukan ragbi di peringkat kebangsaan suatu ketika dahulu dengan menjuarai kejohanan berprestij ragbi Piala Agong sebanyak 5 kali pada kejohanan edisi 2007, 2009, 2014, 2015 dan 2018.
Untuk mencapai semula kegemilangan itu, sekolah di Sabah digesa untuk terus komited membangunkan sukan ragbi bagi mencari bakat baharu atau permata tersembunyi di kalangan pelajar untuk membawa cabaran Sabah ke peringkat lebih tinggi kelak dalam sukan lasak itu.
Focal Person Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Kumpulan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta di Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran
berkata inisiatif itu adalah bagi memastikan bakat pelajar dapat digilap lebih awal di peringkat sekolah, daerah dan negeri, seterusnya ke tahap saingan lebih tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Focal person adalah sukarelawan yang berperanan membantu Kementerian Pendidikan dalam usaha mentransformasikan pendidikan melalui penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta.
“Tidak mustahil suatu hari nanti pelajar-pelajar ini dapat menyarung jersi pasukan kebangsaan untuk beraksi di kejohanan yang bertaraf antarabangsa.
“Sukan ragbi adalah sukan yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi apabila berada di atas padang kerana setiap pemain yang beraksi perlu mempunyai daya tahan fizikal dan mental apabila dirempuh oleh pasukan lawan bagi permainan yang melibatkan pelajar sekolah menengah.
“Manakala bagi pemain kategori sekolah rendah pula, mereka perlu bijak mengatur langkah dan strategi bagi mengelak disentuh oleh pasukan lawan. Kesabaran seseorang pemain perlu ada dalam diri seorang pemain bola bujur kerana tekanan terhadap pihak lawan adalah sengit,” katanya.
Mohammad Arif berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kota Kinabalu di Padang Ragbi Tanjung Aru di sini, semalam.
Menurutnya, pembangunan sukan ragbi di daerah Kota Kinabalu juga semakin berkembang pesat dengan adanya pelbagai program yang telah diatur dengan sebaiknya dan juga menerusi penganjuran kejohanan yang melibatkan pelajar sekolah.
“Saya mengharapkan supaya sukan ini dapat membentuk keperibadian pelajar untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan matang.
“Sukan tidak pernah berpisah dengan akademik pelajar. Ia hendaklah berjalan serentak jika ingin menjadi seorang yang berilmu dan berbakat dalam sukan.
Beliau menegaskan penglibatan pelajar dalam sukan adalah wajib apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mewujudkan Program 1 Murid 1 Sukan.
“Program seumpama ini adalah yang terbaik supaya murid di sekolah tidak akan tersisih daripada menyertai sukan-sukan yang mereka minati,” katanya.
Kejohanan selama 2 hari itu disertai 12 pasukan lelaki bagi kategori sekolah rendah.
Manakala bagi kategori sekolah menengah disertai lima pasukan lelaki dan tiga pasukan perempuan.
Bagi sekolah menengah, Maktab Sabah muncul Johan Cup manakala Sekolah Menengah La Salle muncul Johan Plate.
Manakala untuk kategori sekolah rendah pula, Sekolah Kebangsaan (SK) Kepayan muncul Johan Cup dan SK Bukit Padang muncul Johan Plate.
Johan Cup kategori perempuan diungguli Maktab Sabah manakala Sekolah Menengah St Francis Convent A memenangi Johan Plate.
Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kota Kinabalu dianjurkan SK Tanjung Aru II sejak tahun 2020 sehingga kini.
SK Tanjung Aru II turut menganjurkan beberapa siri kejohanan ragbi peringkat negeri bawah 12 tahun seperti Kejohanan Ragbi Cobra 7’s pada 2019 dan Kejohanan Ragbi Komodo 7’s tahun lalu.
Mohammad Arif berkata usaha dan kerja keras semua pasukan yang menyertai kejohanan ini perlu diberi sokongan dan kata-kata semangat kerana bukan mudah untuk menyertai sesuatu kejohanan yang memerlukan pengorbanan masa, wang ringgit, tenaga dan banyak lagi.