KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan bahawa penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dari golongan B40 yang sudah menyewa melebihi 10 tahun boleh terus kekal dengan syarat mereka layak memohon semula untuk mendiami rumah PPR.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata kerajaan negeri melalui LPPB telah mengambil inisiatif untuk menyediakan rumah PPR untuk disewa kepada golongan berpendapatan rendah, terutama golongan B40, dengan kadar bayaran sewa yang rendah.
Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun, penyewa terbabit diyakini mampu keluar dari kepompong B40, sekali gus memberi peluang kepada pemohon dari golongan B40 yang baharu menduduki rumah PPR.
“Bagaimanapun jika penyewa sedia ada masih berada dalam golongan B40, mereka diberi peluang menyewa tetapi mereka perlu memohon semula (sebagai formaliti),” katanya.
Dr Joachim berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan seminar mengenai peranan dan tanggungjawab Ahli Majlis PIhak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah di SICC, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan pelbagai pihak termasuk pembangkang semalam yang mempertikaikan kewajaran kerajaan Sabah melalui LPPB meminta penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini mengosong rumah selepas menyewa lebih 10 tahun yang mereka sifatkan sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak wajar.
Terdahulu, Dr Joachim dalam ucapannya, menyeru para Ahli Majlis PBTsupaya memahami dan menghayati peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan.