KENINGAU: Gagasan Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad berkata membangun negara Madani, antara lain, bertujuan mengangkat martabat manusia dan menegakkan keadilan.
“Sudah tentu tujuannya sangat penting dalam konteks falsafah Negara Madani.
“Konsep Madani semestinya berteraskan kepada ajaran Islam, kerana islam merupakan satu agama yang menjunjung tinggi nilai Perpaduan dan Kerukunan sesama umat manusia,” katanya.
Sapawi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian bagi peringkat Zon Pedalaman Atas di Dewan Masyarakat Keningau di sini hari ini.
Program forum itu dirasmikan oleh Datuk Robert Tawik yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan.
Sapawi berkata Islam menawarkan konsep toleransi terhadap perbedaan yang disebut sebagai tasamuh, iaitu saling menghormati dan menghargai antara sesama manusia.
“Kita bersyukur kerana penerimaan masyarakat Sabah dalam pelbagai bentuk hubungan, menunjukkan tahap toleransi etnik yang tinggi.
“Inilah sebenarnya yang dititikberatkan dalam Konsep Madani,” katanya.