Gambar Hiasan/decorative pic
BERLIN: Latihan tentera udara terbesar dalam sejarah NATO akan bermula di ruang udara Jerman pada Isnin dengan latihan selama dua minggu melibatkan kira-kira 10,000 askar dan 250 pesawat dari 25 negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Diketuai oleh Bundeswehr (askar) Jerman, latihan digelar ‘Air Defender 2023’ akan berlangsung sehingga 23 Jun dan bertujuan melatih bagaimana serangan rekaan oleh penceroboh timur mungkin ditangkis oleh tentera NATO.
Walaupun latihan perang itu diadakan ketika perang sengit antara Rusia dan calon anggota NATO Ukraine, pegawai dari pasukan Tentera Udara Jerman mengatakan idea untuk latihan bersama tercetus pada 2018, sebelum pencerobohan Moscow ke atas Kyiv yang hanya bermula pada 2022.
Latihan tentera itu diadakan di tengah-tengah kemuncak perjalanan udara musim panas dan anggaran tahap gangguan kepada trafik udara awam berbeza-beza.
Ingo Gerhartz dari pasukanTentera Udara Jerman berkata gangguan penerbangan dijangka “dalam julat minit paling banyak”.
Sementara itu, Matthias Maas dari kesatuan pengawal trafik udara GdF berkata: “latihan itu sudah tentu akan memberi kesan besar kepada penerbangan awam” .
Tiga ruang udara di Jerman terjejas secara langsung oleh latihan itu iaitu sebahagian utara Jerman dan Laut Utara, sebahagian timur Jerman dan Laut Baltik, dan bahagian barat daya Jerman.
— BERNAMA-dpa