KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melaksanakan Program Jom Jadi Usahawan Berjaya (Be Your Own Boss – BYOB), khusus untuk golongan belia dan wanita di negara ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Program BYOB menawarkan dua sub-program iaitu program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) khusus untuk belia dan program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) pula khusus untuk golongan wanita.
“Peserta BYOB ditawarkan panduan dan latihan yang berstruktur dan komprehensif (latihan pengurusan kewangan, motivasi dan digitalisasi), padananan perniagaan, pembiayaan serta akses kepada pasaran semasa, dan diberi pemantauan selama enam bulan apabila bermulanya perniagaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (Libaran) yang bertanya apa usaha kementerian bagi mempergiatkan penglibatan golongan belia dalam bidang francais.
Ewon berkata, kementeriannya komited mempergiatkan penglibatan golongan belia dalam bidang francais.
“Pada tahun 2022, seramai 1,035 peserta menyertai program BYOB dan daripada jumlah itu 647 peserta adalah belia di bawah program YOUNITY,” katanya.
Beliau berkata, pada masa yang sama Pernas menerusi Institut Francais juga menyediakan pelbagai program latihan berfokuskan francais dan keusahawanan secara menyeluruh serta memberikan taklimat kesedaran keusahawanan francais kepada usahawan terutamanya belia.
“Pada tahun 2022, sebanyak 24,292 orang menyertai latihan yang dianjurkan oleh Institut Francais di mana 17,000 peserta adalah belia,” katanya.