KUALA LUMPUR: Kombinasi retain and regain akan menjadi strategi parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua parti bukan sahaja akan berusaha untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu, malah bekerja keras untuk mendapatkan semula kawasan-kawasan yang mereka tewas sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata strategi berkenaan telah pun dibincangkan bersama rakan-rakan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ini yang akan kita lakukan, retain and regain, dan perkara ini kita akan susun atur gerak bersekali dengan rakan-rakan politik lain, insya-Allah apabila kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) bubar akhir bulan ini, gerak kerja kita akan bertambah rancak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sementara itu mengulas mengenai desas-desus mengenai 10 pemimpin UMNO yang didakwa akan menyertai parti lain menjelang PRN, Ahmad Zahid berkata perkara itu sekiranya berlaku tidak sesekali akan melemahkan sokongan pengundi kepada parti itu.
“Telah beberapa kali keadaan itu berlaku (pemimpin keluar parti), (namun) insya-Allah UMNO tetap UMNO, rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam akan terus sokong UMNO.
“Tapi kita mesti melampiaskan soal fitnah dan mehnah yang dilontarkan kepada kita oleh mereka-mereka yang agak tertekan pasca-PRU (Pilihan Raya Umum) 14 dan 15, insya-Allah dengan Ketua Penerangan baharu (Azalina), Setiausaha Agung baharu (Asyraf) cara kita bergerak akan berbeza berbanding lampau,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata pembahagian kerusi antara parti di dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan menegaskan gabungan itu mempunyai formula tertentu jika terdapat sebarang isu berbangkit seperti pertindihan kerusi.
Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
— BERNAMA
Strategi 2R kerajaan Perpaduan hadapi PRN enam negeri – Ahmad Zahid
Advertisements