Fokus kepada perkhidmatan dan pembangunan – Ewon

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mengingatkan semua pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan Moyog yang baru dilantik supaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memberi fokus kepada perkhidmatan dan pembangunan di kawasan masing-masing.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, ini penting bagi memastikan keperluan pembangunan di setiap kampung dapat diberi perhatian sewajarnya.

“Sebelum ini terutamanya semasa pilihan raya, ada diantara kita yang berbeza pendapat dan pandangan, namun pilihan raya sudah berlalu dan kini tumpuan kita adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Sekarang bukan masa untuk kita mempertikaikan siapa yang menjadi pengerusi JPKK tetapi lebih penting berusaha membawa lebih banyak pembangunan di sini.

“Oleh itu saya berharap semua Pengerusi JPKK yang menerima watikah pelantikan ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK N.26 Moyog, di Dewan Huguan Siou Kg.Tuavon Penampang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pelantikan JPKK berdasarkan cadangan setiap parti yang menyokong kerajaan negeri.

“Oleh itu saya berharap setiap JPKK dapat memberi kerjasama dengan jabatan-jabatan dan agensi kerajaan bagi memudahkan pelaksanaan program-program kerajaan khususnya di kawasan kampung.

“Kita harus menjadi satu pasukan Penampang yang kukuh dan bersatupadu agar dapat mengurus pembangunan di Penampang dengan baik seterusnya memastikan setiap pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kalau kita sentiasa “bergaduh” tiada kerjasama dan persefahaman, kampung kita sendiri yang rugi kerana keperluan dan pembangunan kampung tidak dapat diberi perhatian,” katanya.

Mengenai Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Pembangunan Sabah (IDS), Ewon mahu setiap JPKK setiap kampung dapat memberikan input kepada IDS mengenai keperluan-keperluan pembangunan di kampung.

“Pelan Pembangunan Penampang yang lebih tersusun dan menyeluruh akan memudahkan kita mencari peruntukan dan tanggungjawab wakil rakyat ialah mencari dan “membubut” peruntukan bagi setiap isu pembangunan yang dikemukakan penduduk Penampang.

“Masalah itu tidak akan selesai selagi tiada peruntukan. Oleh itu bagi mempercepatkan penyediaan peruntukan, Pelan Pembangunan Penampang antara inisiatif kita untuk mempercepatkan pelaksanaan,” katanya.

Ewon berkata, selain memberi fokus kepada perkhidmatan dan pembangunan, pengerusi JPKK juga berperanan sebagai “mata dan telinga” kerajaan bagi memastikan keselamatan kampung sentiasa terjamin.

“Sekiranya ada warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) di kampung-kampung sehingga menimbulkan risiko keselamatan, pengerusi JPKK harus bertindak pantas melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 61 pengerusi JPKK kawasan Moyog.

Turut hadir Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Hj Ibrahim, Setiausaha Politik YBM, Carl Moosom dan para pemimpin masyarakat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles