Kenyataan Media Naib Canselor
Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Dr Kasim Mansor
KOTA KINABALU: Rencana Kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan Negara MADANI perlu melibatkan semua lapisan masyarakat dari setiap wilayah dan suku kaum agar mereka berasa bahawa mereka juga merupakan sebahagian daripada penduduk Malaysia tanpa rasa terpinggir dan terasing.
Para pemimpin perlu menyantuni dan memberi keadilan supaya pembangunan dan pembelaan itu lebih adil dan dirasai oleh semua pihak.
YAB Perdana Menteri peka mengenai masalah air, elektrik dan keadaan jalan raya yang daif yang dihadapi oleh rakyat di Sabah. Lantaran itu beberapa inisiatif akan dijayakan bersama dengan Kerajaan Negeri dalam mengusai segala permasalahan rakyat.
Mengambil kira permasalahan ini turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan dan kelicinan proses pembelajaran mahasiswa mahasiswi di Universiti Malaysia Sabah terutamanya isu air di kolej kediaman, maka YAB Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta dengan segera bagi melaksanakan projek penggerudian dan pusat rawatan air di UMS.
Hal ini, adalah suatu berita gembira yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh warga UMS.
Selaku Naib Canselor, pihak UMS amat berbesar hati dan sangat gembira dengan peruntukan yang telah diumumkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri berikutan masalah air yang meruncing.
Seluruh warga Universiti Malaysia Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia kerana telah memilih UMS Kota Kinabalu sebagai lokasi Program Temu Anwar @UMS Kota Kinabalu bagi sesi kali ini. Peruntukan sebanyak RM3 juta yang diluluskan oleh YAB PM akan digunakan sebaiknya dalam menangani masalah air yang sejak beberapa bulan ini membelenggu kesejahteraan hidup warga kampus terutama mahasiswa mahasiswi UMS.