PENAMPANG: Sambutan Hari Kaamatan peringkat negeri Sabah 2023 berakhir dengan jayanya yang menyaksikan Carol Abbey Gail dari Papar dimahkotakan sebagai Ratu Unduk Ngadau Kaamatan (UNK).
Carol berjaya mengetepikan cabaran 49 peserta lain yang berentap di pentas akhir UNK di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang, sebentar tadi.
Tempat kedua jatuh kepada Calby Floresa Dolinting wakil dari Kota Marudu, manakala tempat ketiga pula dimenangi wakil Tambunan, Clerice Olvia Augustine @ Justin.
Tempat keempat dimenangi Geladine Lind Mosuyun dari Penampang manakala wakil Tuaran Florina Wileh dan Melni Dhial dan wakil Kiulu masing-masing di tempat kelima dan keenam.
Pemenang Unduk Ngadau kali ini membawa pulang hadiah wang tunai RM16,000 beserta beberapa hadiah iringan termasuk biasiswa pendidikan dari Universiti Kolej North Borneo.
Hadiah kemenangan UNK kali ini disampaikan oleh Isteri Tuan Yang Terutama Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni.