KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pengwujudan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Cawangan Sabah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan lebih ramai usahawan di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap usahawan-usahawan dan bakal usahawan di Sabah memanfaatkan kemudahan, fasiliti dan menyertai pelbagai program yang dilaksanakan oleh INSKEN.
“Pengwujudan Kampus INSKEN ini juga akan memudahkan lagi usahawan-usahawan di negeri ini mendapatkan maklumat dan latihan yang disediakan.
“Kita merasa amat bertuah kerana INSKEN memilih Sabah untuk mewujudkan cawangan pertama di seluruh Malaysia. Ini bertepatan dengan usaha kita untuk membangunkan lebih ramai usahawan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kampus INSKEN Sabah di Wisma IDS, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, INSKEN berperanan penting dalam memperkasa usahawan melalui program latihan dan bimbingan.
“Tiada usahawan di Sabah yang ketinggalan disebabkan faktor geografi kerana INSKEN akan sentiasa turun padang membantu usahawan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak),” katanya.
Katanya lagi, INSKEN menyediakan pelbagai program bimbingan untuk usahawan, antaranya Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
“Sepanjang tahun 2022, INSKEN berjaya melatih seramai 21,385 usahawan di seluruh negara sekaligus melepasi sasaran iaitu seramai 13,390 usahawan.
“Saya berharap usahawan-usahwan dan bakal-bakal usahawan di Sabah merebut peluang mengikuti program latihan yang disediakan oleh INSKEN untuk memantapkan lagi kemahiran dalam keusahawanan,” katanya.
Kampus INSKEN di Sabah ini dilengkapi ruang pejabat untuk kakitangan, bilik latihan, mempunyai empat ruangan kerja yang dilengkapi komputer dan mesin pencetak khusus untuk usahawan Sabah yang tiada kemudahan asas menjalankan perniagaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Sham Shamrat Sen Gupta, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datin Dr. Syahira Hamidon dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin.
INSKEN buka pejabat cawangan pertama di Sabah
Sementara itu, Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) kini membuka pejabat cawangan yang pertama di Sabah, di Lot 10, Wisma IDS Penampang.
Pejabat baharu itu dirasmikan oleh Ewon kelmarin.
Pejabat cawangan INSKEN yang dikenali sebagai Kampus INSKEN (Sabah) ini adalah antara usaha untuk menarik lebih ramai usahawan menyertai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, usahawan Sabah sentiasa memberi sokongan padu kepada INSKEN.
“Ini merupakan langkah yang tepat agar usahawan Sabah mendapat akses lebih mudah dan cepat untuk bertemu, berkomunikasi serta mendapatkan bantuan latihan dan bimbingan daripada INSKEN.
“Selain ruangan pejabat, ia juga dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta bagi setiap program,” katanya.
Kampus INSKEN Sabah akan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Selain secara dalam talian, usahawan di Sabah juga digalakkan untuk ke Kampus INSKEN (Sabah) yang terletak di Lot 10, Wisma IDS, Penampang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasmi, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad dan ketua-ketua agensi kementerian.
Maklumat lanjut, usahawan boleh hubungi Kampus INSKEN (Sabah) di talian 088-738445.