KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata usaha agresif oleh Exco Pendidikan Sabah melalui Jabatan Pendidikan Negeri perlu ditingkatkan dalam usaha menyelesaikan masalah dan isu berkenaan sekolah daif.
“Saya mencadangkan agar ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pemantau Sekolah Daif, yang mana ia melibatkan usahasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Tujuan ini tidak lain tidak bukan adalah bagi membincangkan serta mencari penyelesaian tuntas kepada isu sekolah daif yang hingga kini masih belum berkesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan perbahasan semasa Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurut Amisah, masih banyak sekolah usang dan daif di negeri Sabah dan hal tersebut dilihat mampu mempengaruhi prestasi dan pencapaian murid.
“Isu sekolah daif dekat di hati kita kerana di negeri kita masih banyak sekolah daif.
“Kita sedar dengan pendidikan sahaja segala masalah dan kemiskinan hidup dapat diatasi serta diperbaiki.
“Murid mampu belajar dengan baik dan mendapat prestasi cemerlang andai segala keperluan asas di sekolah dapat disediakan, sekurang-kurangnya…, dan adalah benar jika saya katakan, merekalah yang akan mengubah nasib keluarga dan mengharumkan nama negeri serta negara kelak,” katanya lagi.
Jelas Amisah lagi, Ranau setakat ini mempunyai jumlah sekolah usang tertinggi di Sabah.
“Di Ranau ada 44 buah, Pensiangan 34, Beaufort 29, Keningau 21, Tuaran 18, Kudat 17, Silam 15, Libaran dan Sepanggar masing-masing 14, diikuti Beluran 13, Kota Belud 12, Kinabatangan 10, Papar lapan, Sipitang tujuh dan Tenom enam sekolah usang.
“Jumlah ini bukan sedikit dan kita perlu segera ambil tindakan untuk menyelesaikan isu dan keperluan sekolah usang dan daif di seluruh negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amisah juga memberitahu bahawa tindakan drastik perlu diambil oleh pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkenaan kelakuan sumbang dan salah laku seks terhadap kanak-kanak.
“Setakat hari ni, yang dilaporkan dan dicatat dalam rekod, kita sudah mempunyai 22 kes jenayah seks terhadap kanak-kanak, sedangkan kita belum sampai separuh tempoh tahun 2023, dan jumlah ini adalah separuh dari jumlah keseluruhan tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 17 adalah kes rogol dan selebihnya adalah dalam bentuk gangguan seks yang lain.
“Lebih menyedihkan apabila ada yang semasa menunggu perbicaraan, ada yang kes dalam pengakuan baharu, dan lebih membangkitkan kemarahan dan kebimbangan adalah, tertuduh ini dilepaskan tanpa dibebaskan.
“Kerajaan perlu ambil maklum kes seumpama ini kerana kesan trauma kepada anak-anak yang menjadi mangsa adalah sangat besar.
“Masa depan mereka, maruah mereka dan keluarga, keyakinan diri serta semangat untuk mereka bangkit kembali, hal ini tidak semudah yang kita fikirkan kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul,” katanya lagi.
Selain itu, Amisah turut mencadangkan agar pihak Kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bekerjasama dan memperkemas sistem maklumat penerima bantuan kebajikan khasnya golongan daif serta orang kelainan upaya.
“Perjuangkan nasib rakyat yang memerlukan bantuan dan bela sewajarnya.
“Saya mohon agar garis panduan serta syarat terkini sentiasa diberitahu kepada semua masyarakat dan penerima agar tidak ada yang ketinggalan daripada menerima maklumat atau perubahan semasa, termasuk sistem dan kecekapan kakitangan dalam mengendalikan rekod penerima bantuan.
“Ada kes dimana penerima bantuan berkunjung ke pejabat kebajikan untuk mengambil elaun pada tarik tertentu, tapi disuruh pulang kononnya masih belum ada elaun dapat diberikan kerana sebab-sebab tertentu.
“Lebih teruk lagi ada kes yang sampai berbulan tertunggak elaun kebajikan, tanpa diberitahu sebarang sebab atau notis, dan apabila dirujuk kembali ke pejabat kebajikan, layanan daripada kakitangan ada kalanya seperti acuh tidak acuh,”katanya.
Amisah berkata, sebagai sebuah pemegang amanah dan pengendali urusan bantuan kebajikan untuk rakyat, adalah tidak wajar andai kecuaian serta kelakuan sedemikian berlaku dalam kalangan kakitangan atau sesiapa sahaja yang berkaitan.
“Kita mungkin senang dan tidak berada di situasi saudara kita yang susah, daif, yang mengharapkan dan memerlukan bantuan kebajikan, jadi kita pandang mereka kecil dan seperti endah tidak endah.
“Tapi sebagai manusia, kita ada hati, kita ada nurani untuk berfikir dan berbuat baik kepada umat manusia yang lain, walaupun bukan keluarga atau bukan sahabat handai kita.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memastikan pembayaran elaun kepada golongan penerima ini dilaksanakan dengan efisien dan cekap, tanpa perlu membebankan serta mengecewakan mana-mana pihak,” ujar beliau lagi.