Apa signifikan dari segi moral Adun yang melompat awal tetapi meluluskan Akta Anti Lompat Parti ?

Penganalisis politik tempatan Mohd Zaki Harry Susanto

Advertisements

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti bakal dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis ini.

Bagi membolehkan rang undang – undang itu diluluskan, ia perlu mendapat sokongan dua pertiga daripada kalangan Adun, termasuk Adun Dilantik.

Apa yang menarik ialah sebahagian Adun yang telah “melakukan lompatan” dan mengisytiharkan diri mereka Adun bebas akan turut terlibat dalam undian akta tersebut.

Persoalannya sekarang ialah apa signifikannya dari segi moral bagi Adun yang bakal meluluskan sesuatu undang-undang kerana pada peringkat awal, mereka secara sengaja tidak menghormati mandat rakyat dengan menjadi Adun bebas atau melompat parti?

Penganalisis politik, Mohd Zaki Harry Susanto berkata amalan berhijrah ke parti lain bukan perkara baharu dalam arena politik. Ia telah mewarnai arena politik Sabah sejak sekian lama malah telah beberapa kali merubah lanskap politik negeri ini.

“Bagi mana-mana negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi, amalan hijrah atau lompat parti bukan suatu yang luar biasa. Ia kerap berlaku sesuai dengan keadaan serta tuntutan politik semasa.

“Di Malaysia khususnya di Sabah, amalan yang sama juga berlaku. Beberapa pemerintah kerajaan negeri sebelum ini seperti kerajaan PBS pada 1994 dan kerajaan campuran Warisan pada tahun 2020 tumbang ekoran berlakunya penghijrahan Adun,” katanya kepada Jesselton Times.

“Bertukar parti bukanlah seperti bertukar agama. Ia juga bukan dosa yang besar dalam amalan demokrasi kerana setiap individu memiliki hak untuk menentukan masa depan mereka.

Zaki juga berkata, sebenarnya terdapat hikmah di sebalik budaya hijrah atau melompat parti yang berlaku kerana akhirnya ia kini berjaya memastikan kerajaan negeri terus stabil daripada segi politik dan ekonomi.

Bagaimanapun, Zaki berkata ramai yang melihat amalan lompat-melompat itu sebagai tidak bermoral dan tidak menghormati mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

“Di peringkat akar umbi ada pula suara-suara yang menganggap amalan melompat ini tidak baik, Ada kalangan mereka merasa tertipu apabila Adun yang mereka sokong keluar parti asal dan menyertai parti lain selepas menang. Selain itu, ada pula akar umbi yang berpendapat bahawa tindakan ADUN yg melompat tersebut adalah atas tuntutan politik semasa dan juga keperluan untuk mendapatkan peruntukan tahunan yang diperlukan untuk membantu rakyat akar umbi terutama sekali berkaitan dengan pelaksanaan projek-projek kecil yang cukup mendesak.

“Menurut penyokong akar umbi, ada Adun yang melompat sehingga lima kali yang menurut mereka layak diberi gelaran Raja Katak,” katanya.

Mengambil kira kesan positif dan negatif amalan melompat serta keadaan politik yang kelihatan stabil di peringkat Persekutuan, sudah tiba masanya kerajaan Sabah juga memperkenalkan undang-undang yang sama iaitu Akta Anti Lompat Parti, kata Zaki.

Zaki berkata sejarah hitam yang berlaku sebelum ini wajar dilupakan dan berpendapat “sudah tiba masanya tutup buku lama dan buka lembaran baru”

“Mudah-mudahan semangat konsep Madani yang ilhamkan oleh Perdana Menteri akan meresap dalam jiwa setiap wakil rakyat… Kata orang Sabah “sudah-sudahlah, marilah kita utamakan perpaduan sejati dan Madani… Elakkan dari terus kelentong rakyat,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles