KOTA KINABALU: Beberapa hari sebelum Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Khamis ini, Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat (KDM) Datuk Juil Nuatim dikhabarkan keluar parti itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.
Menurut laporan Daily Express, Juil mengesahkan perkara itu hari ini.
ADUN Limbahau itu dipetik sebagai berkata bahawa hasrat beliau untuk meninggalkan KDM telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semasa sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Papar pada Sabtu.
“Presiden KDM Datuk Peter Anthony dan saya tiada masalah. Kami kawan rapat dan dia serba memahami. Cuma, Limbahau akan terus ketinggalan tanpa bantuan dana kerajaan…jadi saya fikir lebih baik bersama kerajaan seiring dengan Ahli Parlimen Papar,” kata Juil.
Pada pilihan raya negeri 2020, Juil mewakili Warisan menang kerusi DUN Limbahau dengan majoriti 2,523 undi.