Yayasan Bank Rakyat Bantu 60 Sekolah di Sabah

PENAMPANG: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada 60 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah bagi membantu sesi persekolahan yang telah pun bermula sejak Mac 2023.
Ia melibatkan 52 sekolah kebangsaan (SK) dan 8 sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah-sekolah ini menerima bantuan ini melalui program Bantuan Persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Bantuan persekolahan ini melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan Asnaf dan keluarga B40, berobjektif bagi membantu meningkatkan akademik pelajar-pelajar dari sekolah tersebut untuk sesi persekolahan tahun 2023.
Simbolik replika cek bantuan kepada sekolah-sekolah ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick di Dewan SMK St. Michael, Penampang.
Turut hadir dalam sesi penyampaian itu Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Encik Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baru.
“Saya juga amat berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR dan berharap lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain, dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan. Syarikat-syarikat korporat serta NGO perlu sama mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,”
Menurut Philip Benedict, “Pemberian bantuan ini dipecahkan kepada dua lokasi yang telah dikenalpasti iaitu di sekitar Penampang dan seterusnya di Kadamaian dalam dua majlis penyerahan yang berasingan,” katanya di dalam majlis penyerahan bantuan di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, “Bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pihak sekolah untuk membantu murid-murid serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu komuniti setempat”.
Jelas Philip lagi, usaha ini juga menjadi salah satu strategi dalam membantu masyarakat terutamanya di dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat terutamanya di Sabah.
Untuk makluman pihak media, bagi tahun 2022, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 87 lokasi.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles