KOTA KINABALU – Pewujudan SDG Walk di Bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan langkah proaktif fakulti tersebut untuk mendidik pelajar dan kakitangan mengenai Sustainable Development Goals (SDG) selangkah dengan gerakan global menuju pembangunan mampan.
Dekan FPSK, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, SDG Walk adalah peluang untuk menyebarkan kesedaran tentang pembangunan mampan dan memberi inspirasi kepada fakulti dan pelajar untuk mengambil tindakan dalam mencapai matlamat ini.
“SDG Walk ini memaparkan poster yang menyokong SDG dan sasaran mereka berada di koridor yang terletak di bangunan utama fakulti, berfungsi sebagai pengingatan tentang matlamat-matlamat tersebut dan mendorong orang ramai untuk mencapainya.
“Dengan memberi keutamaan kepada pembangunan mampan, UMS sekali gus turut menyumbang kepada usaha pencapaian SDG dan mencipta masa depan yang lebih sihat dan mampan untuk semua.
“Kami berharap inisiatif ini akan mendorong orang ramai untuk menyertai usaha ini demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena acara perasmian SDG Walk di perkarangan Bangunan FPSK, baru-baru ini.
Acara perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Raman Noordin, yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Tambah Saffree, UMS sememangnya berada di barisan depan dalam inisiatif pembangunan mampan dengan mempromosikan amalan tersebut dalam bidang akademik, penyelidikan, perkhidmatan profesional dan di komuniti melalui beberapa program yang membantu mencapai SDG.
“SDG Walk hanya merupakan salah satu daripada banyak usaha yang dilakukan oleh pihak universiti untuk mempromosikan pembangunan mampan dan ke arah pencapaian SDGs.
“Sebagai institusi pendidikan tinggi, UMS mengakui peranannya dalam membentuk pemikiran dan tindakan pemimpin masa depan untuk menjadi agen perubahan dalam mencipta dunia yang mampan untuk semua.
“Adalah penting bagi kita untuk bekerjasama dan mengambil tindakan yang konsisten untuk mencapai SDG ini,” ujar beliau.
Hadir sama pada acara tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Ketua Pustakawan UMS, Encik Md Sazali Md Salleh.