Penganut Kristian Sabah, Sarawak boleh guna Kalimah Allah dalam doa

PENAMPANG: Kabinet Persekutuan bersetuju mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penggunaan kalimah Allah iaitu membenarkan masyarakat bukan Islam di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam doa dan bahan bercetak tetapi perlu dicop “untuk penganut kristian sahaja”.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata dengan ketetapan itu, rakyat Sabah khususnya penganut kristian tidak perlu lagi risau dan boleh berdoa dengan tenang.

Beliau berkata keputusan itu telah dicapai dalam mesyuarat kabinet kerajaan perpaduan dua hari lepas.

“Saya sendiri telah mengambil bahagian dalam mesyuarat itu dan akhirnya semua anggota kabinet bersetuju mengekalkan status quo,” katanya.

Ewon berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat – Bantuan Sekolah Yayasan Bank Rakyat kepada semua sekolah di kawasan Parlimen Penampang hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata bahwa penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan hanya terpakai untuk negeri berkenaan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Perdana Menteri diminta mengulas keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles