KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah diminta untuk mengambil tindakan lebih berkesan untuk menangani masalah bekalan elektrik dan air yang semakin kritikal ketika ini sehingga menjejaskan kehidupan penduduk negeri ini.
Pengerusi Perikatan Nasional Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata jika sebelum ini masalah ini hanya berlaku di kawasan luar bandar tetapi sejak kebelakangan ini gangguan kini berlaku di bandar-bandar termasuk ibu negeri Kota Kinabalu malah lebih serius lagi beberapa hari lalu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu juga tidak terkecuali dari mengalami gangguan bekalan air.
“Kegagalan kerajaan negeri menangani gangguan bekalan utiliti penting ini memalukan dan merosakkan imej negeri sebagai negeri pelaburan dan pelancongan.
“Ini mengecewakan dan bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri seperti yang digariskan dalam teras Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu untuk memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi dan mengutamakan pembangunan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata kerajaan negeri Sabah sepatutnya mempunyai perancangan yang baik untuk mengatasi masalah yang menyebabkan kehidupan tidak selesa penduduk negeri ini.
Menurutnya rakyat Sabah tentu ingin melihat Kerajaan Madani (Persekutuan) dan Kerajaan Sabah Maju Jaya ini lebih prihatin dan mengambil tindakan berkesan untuk menangani masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang sedang melanda Sabah ketika ini.
Beliau berkata gangguan bekalan elektrik dan air yang kritikal pada masa ini adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan negeri mengurus dan mengambil tindakan yang telah dikenalpasti sejak sekian lama.