KOTA KINABALU: YDP DCP Mohd Ali Tamby memulakan tugas sebagai Komander Eastern Command (KEC) Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang baharu hari ini.
DCP Mohd Ali menggantikan DCP Datuk Hamzah bin Haji Ahmad yang bertukar keluar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), beliau memulakan karier dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988 dengan menyertai Latihan Asas Kepolisan yang tamat pada tahun 1990, seterusnya menyertai Pasukan Elit PDRM iaitu Unit Tindakhas (UTK) selama 25 tahun.
Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak selain pernah berkhidmat sebagai pegawai pengiring kepada pemimpin negara.
DCP Mohd Ali yang sebelum ini merupakan Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM sejak tahun 2019, telah berkhidmat selama 35 tahun tiga bulan dalam PDRM dan dengan pengalaman luas serta kemahiran yang ada diyakini mampu memberi suntikan baharu serta menerajui ESSCOM ke tahap yang lebih cemerlang.
Upacara Majlis Serah Terima Tugas KEC secara rasmi akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor di Menara Kinabalu pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Selain jawatan KEC, ESSCOM turut menerima beberapa pertukaran Ketua Staf iaitu SAC Mohamad Pajeri bin Ali, Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/ Teknikal; SAC Mohamed Rafiq bin Mohamed Mustafa sebagai Ketua Staf Pasukan Khas; dan SAC Azli bin Amin, Ketua Staf Perisikan.
DCP Mohd Ali Tamby mulakan tugas sebagai KEC baharu ESSCOM
Advertisements