Oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran Sabah
Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)
KOTA KINABALU: Saya menyeru kepada semua ahli politik, parti politik, pertubuhan masyarakat madani, pemimpin-pemimpin pendapat penting (KOL) dan rakyat Malaysia sekalian untuk mencari pendamaian nasional (national reconciliation) di antara Semenanjung dan Borneo dalam kontroversi berkaitan dengan larangan penggunaan kalimah Allah oleh umat bukan Islam, dan bukan menangguk di air keruh.
Saya menyeru semua pihak menerima fakta yang berikut:
● Umat Kristian Borneo yang berbahasa Melayu memang menggunakan kalimah Allah sepertimana “Allah Taala” dalam Bahasa Iban, “Tuhan Allah” dalam bahasa Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit dan “Tuhan Alla” dalam Bahasa Bidayuh.
● Penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian sememangnya bukan untuk memurtadkan umat Islam dan oleh itu tidak pernah digusari umat Islam di Wilayah Borneo.
● Penggunaan kalimah Allah di kalangan umat Kristian Borneo menjadi ternampak (visible) sejak 1980an kerana kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan juga penghijrahan rakyat Borneo ke Semenanjung kerana kekurangan peluang pekerjaan dan pendidikan di Wilayah Borneo.
● Kebebasan umat Kristian Borneo menggunakan kalimah Allah tidak sama sekali menggugat Islam, sebaliknya harus diraikan kerana kejayaan Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan yang merentas agama, dan juga pendamaian nasional antara Semenanjung dan Borneo.
Pada 15 Mac 2021, seramai 18 Ahli Parlimen, 4 Senator, 23 ADUN Sarawak dan 9 ADUN Sabah merentas parti – PH, GPS, Warisan, PSB dan Bersatu – mengeluarkan kenyataan bersama merayu kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 bahawa larangan terhadap penggunaan kalimah Allah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kami amat bersyukur seruan kami akhirnya didengar oleh Kerajaan Persekutuan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kami berharap keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menarik balik rayuan ini boleh diterima oleh semua pihak dengan dada yang lapang.
Berikut adalah petikan daripada kenyataan yang asal:
- Umat Kristian yang menggunakan kalimah “Allah” dan istilah-istilah keagamaan yang sama dengan Umat Muslim kebanyakannya adalah orang Borneo dan Orang Asli yang menutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua atau bahasa ibunda, seperti mana Umat Kristian kaum Batak, Dayak, Ambon, Timor di Indonesia yang menutur Bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua atau bahasa ibunda. Di Sarawak, Bahasa Iban menggunakan “Allah Taala”, Bahasa Bidayuh menggunakan “Tuhan Alla” sebagai kalimah untuk Yang Maha Esa manakala Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit menggunakan “Tuhan Allah”.
- Di Sabah dan Sarawak, Bahasa Malaysia menjadi popular di kalangan umat Kristian kerana pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berjaya yang mematahbalik kemelesetan dalam penggunaan Bahasa Melayu dalam zaman penjajahan.
- Umat Muslim di Wilayah Borneo menyokong dan tidak rasa terancam dengan saudara-mara dan teman-teman Kristian mereka menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa untuk semua agama wahyu berakarkan Nabi Ibrahim. Umat Borneo sesungguhnya percaya bahawa manusia dijadikan berbeza untuk kita saling mengenali dan mengasihi, bukan untuk mencaci dan menganaktirikan sesama lain, dan bahawa kewujudan pelbagai umat agama adalah kehendak Allah kerana kalau hendak Allah yang Maha Kuasa sudah tentu boleh menjadikan kita semua dalam satu agama.
- Umat Muslim dan Umat Kristian menyembah Allah dalam masjid dan gereja masing-masing tidak akan menyebabkan murtad umat Muslim. Bukti paling baik – Muslim mengambil tempat hampir atau lebih daripada 90% dalam populasi di kedua-dua dunia Arab dan Indonesia, sungguhpun umat Muslim dan umat Kristian telah berkongsi kalimah “Allah” dan istilah-istilah keagamaan lain masing-masing selama 1,442 tahun dan 476 tahun.
- Keputusan Kabinet Persekutuan pada tahun 1986 untuk menafikan hak bukan Muslim untuk menyembah Allah adalah kekhilafan di bawah tekanan politik oleh sesetengah orang Malaya yang rasa tidak selamat, jal dengan keadaan di Sabah dan Sarawak dan pada masa yang angkuh dengan tanggapan bahawa orang Malaya boleh menentukan bagaimana orang Sabah dan Sarawak harus hidup, sama di negeri sendiri atau di Semenanjung. Golongan Malaya ini yang berlagak seolah-olah diri adalah pusat kepada dunia enggan menerima bahawa Malaysia adalah satu perkongsian “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” di antara Malaya, Sabah dan Sarawak.
- Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah orang Malaya. Ia tidak akan menyebabkan pendakwahan ke atas Muslim dan kemurtadan mereka, satu ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang Malaya.
- Keputusan Mahkamah Tinggi adalah kemenangan kepada Malaysia dan akan memperkuatkan Persekutuan kita. Ia akan membenarkan umat Kristian di kalangan Orang Sabah, Orang Sarawak dan Orang Asli untuk menyembah Allah secara bebas, sepertimana kebebasan yang dinikmati saudara-mara Dayak mereka tanpa isu di sebelah sempadan di Kalimantan.
- Keputusan Mahkamah Tinggi juga adalah kemenangan kepada Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan juga kesemua penuturnya, serta penghormatan untuk penutur-penutur Bahasa Iban, Bahasa Bidayuh, Bahasa Lun Bawang, Lun Dayeh dan Bahasa Kelabit, antara bahasa warisan di Benua Borneo.