KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, Perak hujung bulan ini, amat signifikan bagi menentukan survival atau daya hidup dan hala tuju kebebasan media di negara ini, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Lichong Angkui.
Beliau berkata ucap tama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada acara kemuncak sambutan itu menjadi tumpuan media mengenai dukungan Kerajaan Perpaduan terhadap aspek kebebasan dan keselamatan media.
Katanya, inti pati ucapan Perdana Menteri menjadi perhatian kerana inilah kali pertama Anwar berucap pada perhimpunan terbesar wartawan dari seluruh negara yang berkampung di Ipoh nanti.
“Perhimpunan HAWANA 2023 kali ini menjadi wadah perbincangan mengenai survival dan hala tuju kebebasan media di negara ini.
“Ia amat signifikan dalam konteks kebebasan dan keselamatan media susulan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF),” katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.
Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand pada kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).
Lichong yang juga Anggota Jawatankuasa HAWANA 2023 berkata ketika menyentuh mengenai soal kebebasan dan keselamatan media, ada yang menganggapnya subjektif mengikut persepsi atau sisi pandang berbeza.
“Ada yang berpendapat, kebebasan tiada mutlaknya, maka berlakulah debat dan polemik, apatah lagi apabila ia dikaitkan sebagai tunjang demokrasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap HAWANA 2023 akan menjadi platform terbaik untuk berbincang dan mencari titik persamaan mengenai soal kebebasan dan keselamatan media.
Sambil berharap HAWANA 2023 menghasilkan dimensi baharu dalam konteks kebebasan dan keselamatan media, Lichong turut menghargai komitmen Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang kini lebih proaktif dalam mendepani cabaran media dan dunia kewartawanan di negara ini.
“Ini termasuklah pendirian serius KKD dalam usaha merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia bagi melindungi dan menjaga kepentingan wartawan,” katanya.
Beliau berkata sokongan kuat KKD dalam menjayakan HAWANA 2023 ialah cerminan pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kerajaan kepada pengamal media di negara ini.
Mengenai penyertaan wakil media dari Sabah dan Sarawak dalam HAWANA 2023, Lichong berkata ia petanda jelas sebagai keterangkuman komitmen dan perjuangan bersama memartabatkan dunia kewartawanan dalam acuan arus perdana.
Katanya, pembangunan akhbar di kedua-dua negeri itu juga sudah lama bertapak, justeru tidak sewajarnya tersisih biarpun terpisah jauh oleh Laut China Selatan.
“Kita mengharapkan penyertaan aktif media dan wartawan dari Sabah dan Sarawak dalam HAWANA sebagai pentas perjuangan komuniti media keseluruhannya,” katanya.
— BERNAMA