KOTA KINABALU: BERSATU Sabah mahu Pakatan Harapan (PH) membuktikan komitmen mereka dalam merealisasikan manifesto kadar harga penerbangan RM199 bagi perjalanan pulang ke Sabah atau sebaliknya seperti ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Aksyah Nasrah berkata PH telah menawarkan manifesto tersebut sekiranya berjaya memerintah kerajaan seperti dibangkitkan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick yang menjadi calon bagi Parlimen Penampang pada PRU15.
Bagaimanapun, Aksyah berkata, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilihat seperti tidak memberi komitmen penuh bagi merealisasikan manifesto tersebut.
“Pada masa kini Ewon Benedick sudah menjadi menteri penuh di peringkat pusat serta menganggotai barisan Kabinet namun dilihat tidak pernah menyelesaikan manifesto ini.
“Ketika isu harga tiket penerbangan ke Sabah melambung berlipat kali ganda semasa menjelang Aidilfitri, beliau (Ewon) tidak muncul membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat Sabah untuk pulang bercuti menyambut Hari Raya.
“Kita sangat kecewa sedangkan mereka sendiri menawarkan dalam manifesto harga tiket penerbangan RM199 untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Kuala Lumpur untuk balik ke negeri masing-masing.” “Dalam manifesto PRU15 PH itu, harga yang dicadangkan bukan hanya terhad kepada musim perayaan sahaja, tetapi diseragamkan untuk membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan masalah ini,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama Aksyah mencadangkan agar kerajaan dapat berbincang dengan syarikat penerbangan supaya kadar harga tiket dapat dikawal terutama semasa musim perayaan khususnya penduduk Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia.
“Mungkin sudah sampai masanya kerajaan negeri turut serta dalam industri penerbangan komersil dengan memberikan harga istimewa kepada penduduk Sabah. Perkara ini bukanlah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana Sabah memiliki sumber pendapatan yang jika diolah dengan baik akan memberikan manfaat maksima kepada rakyat”.
“Dengan wujudnya syarikat penerbangan komersil milik kerajaan negeri, bukan hanya akan dapat menyelesaikan masalah ini malahan ia sudah tentu mampu memberikan limpahan rantaian keuntungan kepada Sabah dalam pelbagai sektor,” katanya.
Aksyah turut melahirkan rasa simpatinya kepada rakyat Sabah dari pelbagai latar belakang terutama golongan yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dan pelajar yang tidak dapat balik berhari raya bersama keluarga pada Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini.