Gambar Hiasan
SEMPORNA: Seorang wanita dari Selangor yang sedang bercuti dengan rakan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di salah satu pulau pusat peranginan di sini hari ini.
Ketua Polis Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya telah menerima laporan berkaitan seorang wanita dari Selangor berumur 53 tahun yang mengadu sesak nafas semasa melakukan aktiviti snorkeling di tepi pantai sebuah pulau peranginan pada kira-kira 4.15 petang.
Menurutnya susulan itu, mangsa
dinaikkan ke bot dan di bawa ke daratan yang mana mangsa telah diberikan bantuan pernafasan oleh staf pusat peranginan itu sebelum dihantar ke hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital Semporna dipercayai disebabkan oleh serangan jantung. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Farhan berkata tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.