SANDAKAN: Pembangunan sektor perhutanan terutamanya ladang hutan di Sabah tidak patut dilihat sebagai penyumbang kepada penyah-hutanan (deforestation) kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, ini kerana ia dijalankan mengikut pelan pembangunan ladang hutan yang disahkan dan diluluskan oleh Jabatan Perhutanan, mengikut garis panduan yang komprehensif dari sudut perlindungan alam sekitar.
Menurutnya, dakwaan pihak tertentu bahawa pembangunan sektor perhutanan di Sabah, terutamanya ladang hutan telah melibatkan proses penyah-hutanan (deforestation) yang ketara serta menjejaskan litupan hutan adalah tidak tepat.
Beliau berkata, pihak tersebut sepatutnya membuat penelitian fakta yang lebih cermat dan memahami konteks pengurusan hutan di Sabah.
“Kerajaan Sabah telah mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang musnah (degraded) dengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan tersebut, sebagaimana termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022 – 2036)”.
“Dari sudut yang positif, pembangunan ladang hutan adalah salah satu strategi Pengurusan Hutan Mampan (SFM) bagi memulihkan produktiviti hutan yang terosot, untuk mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli, dan memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Negeri Sabah di Rainforest Discovery Centre (RDC) dekat sini, hari ini.
Teks ucapan Hajiji disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Dalam aspek pengurusan hutan, beliau tegaskan Kerajaan Sabah sentiasa komited untuk mengekalkan 50% kawasan litupan hutan negeri, sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.
Katanya pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 64% kawasan litupan hutan negeri. Ini meliputi 3,848,597 hektar (52%) kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.
Menurutnya, bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah penting itu, Sabah telah mewartakan sehingga 1.9 juta hektar (26.4%) sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (Totally Protected Area) bagi mencapai sasaran 2.2 juta hektar atau 30% daripada keluasan negeri menjelang tahun 2025.
Hajiji berkata, Kerajaan Sabah sedang melakukan usaha rasionalisasi guna tanah bagi tujuan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan konservasi alam sekitar.
“Seiring dengan itu, Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka satu Pelan Induk Hutan- “Statewide Forest Master Plan”, yang akan menyediakan garis panduan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan berhutan di seluruh Sabah”.
“Menerusi Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif (Ecological Sensitive Area (ESA)) tetap dilindungi dan pada masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah. Ini adalah sejajar dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diantaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau”, tegasnya.
Sebagai manifestasi kepada keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan perlindungan sumber asli, Hajiji berkata, Kerajaan Sabah dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration Impact Program – FOLUR IP). Program ini akan melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan lebih kurang 2.1 juta hektar.
Menurutnya, ianya akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, disamping mengekalkan kawasan hutan bernilai tinggi, HCV (High Conservation Value) untuk faedah alam sekitar dan pembangunan. Program ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah, dan dijangkakan akan memberi faedah kepada lebih kurang 56,000 orang penduduk kawasan luar bandar.
Hajiji berkata, sebagai alternatif untuk penjanaan pendapatan baharu, Kerajaan Sabah telah meneroka inisiatif-inisiatif yang dapat menyokong program konservasi hutan melalui potensi penjanaan hasil pendapatan bukan berasaskan kepada kayu (Forest Beyond Timber).
“Ini termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan ekosistem hutan (Payment for Forest Ecosystem Services) dan perdagangan karbon melalui pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+)”.
“Salah satu contoh yang dapat kita lihat ialah pembangunan prasarana di Rainforest Discovery Centre (RDC) Visitor’s Complex ini yang terbukti berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara, yang meminati aktiviti rekreasi bertemakan hutan”.
“Pembangunan RDC Visitor’s Complex ini telah siap dibina pada tahun 2022 dengan bantuan teknikal dan kewangan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Malaysia (NRECC) berjumlah RM7 juta telah menambah nilai usaha Kerajaan Sabah dalam memperkasakan sektor rekreasi hutan dengan berkonsepkan pendidikan alam sekitar dan kesedaran awam,” tambahnya.
Pembangunan Ladang Hutan Bukan Penyumbang Penyah-hutanan
Advertisements