KOTA KINABALU: Ibu bapa disaran meningkatkan pemantauan terhadap anak-anak terutama ketika keluar bermain musim jerebu.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Azizah Mohd Dun berkata ia penting bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku ke atas anak-anak sepanjang musim panas dan berjerebu ini.
“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian dan memantau anak-anak kerana kita di sini mengalami masalah jerebu dan cuaca panas yang berterusan sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa Rumah Terbuka beliau di Jalan Kurol Melangi Kampung Likas, dekat sini semalam.
Hadir sama Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat (PGRS) Aziah Atoh, Penolong Setiausaha Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Pengerusi Zon 3 Gagasan Rakyat, Datuk Surinam Sadikun, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.
Azizah turut menasihati ibu bapa tidak membiarkan anak-anak bermain terlalu lama di bawah panas matahari bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku kepada anak-anak mereka.
“Kurangkan aktiviti di luar melibatkan anak-anak kita, pastikan mereka minum air yang mencukupi sepanjang musim panas dan jerebu ini,” tegasnya lagi.
Jelasnya keamanan yang dinikmati rakyat daripada pelbagai etnik dan fahaman agama bukannya datang secara bergolek, tetapi hasil kebijaksanaan pemimpin menerajui negara.
Beliau berkata rakyat yang rasional sudah pasti dapat memahami senario kehidupan negara tertentu yang kekal pada tahap kurang maju di samping sering dilanda persengketaan.
“Sambutan Aidil Fitri merupakan jambatan mengeratkan hubungan silaturahim untuk masyarakat saling bermaafan dan mengeratkan perpaduan di dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik.
“Merapatkan hubungan kekeluargaan dan saling bermaafan dengan ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara. Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk orang ramai berkumpul bersama keluarga tercinta,” katanya.
Tradisi mengadakan rumah terbuka perlu diteruskan kerana ia dapat mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum. Kita patut berbangga kerana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut rakyat beragama Islam bahkan oleh semua rakyat negara ini ujarnya.
Tambah beliau, perpaduan rakyat negara ini yang utuh dapat membantu negara mengatasi apa jua cabaran. Rumah terbuka wajar diteruskan kerana mendatangkan pelbagai manfaat terutamanya dapat mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, jiran dan keluarga, katanya.