TUARAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Malangang Baru yang terletak di daerah kecil Kiulu menerima kunjungan muhibbah rombongan staf daripada jiran SK Pukak baru-baru ini.
Rombongan SK Pukak itu diketuai Guru Besarnya Encik Jerome Goromon Rongot.
Dalam ucapan alu-aluan pada majlis tersebut, Guru Besar SK Malangang Baru, Encik John Wayne Linggang menzahirkan rasa terharu atas inisiatif dan sokongan SK Pukak merealisasikan jalinan kerjasama dengan SK Malangan Baru.
Menurutnya lawatan jalinan kerjasama itu diharap dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah mencakupi bidang pengurusan pentadbiran, akademik, kokurikulum dan hal-ehwal murid.
Sambil berkongsi amalan terbaik TS25 di sekolahnya, John Wayne turut menekankan kepentingan jalinan kerjasama khususnya sekolah TS25.
“Bagi kami, apa sahaja program kerjasama yang membawa kebaikan khususnya dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran sekolah secara holistik, kami alu-alukan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pukak, Encik Jerome Goromon Rongot dalam ucapan balasnya berkata jalinan kerjasama seumpama itu amat berfaedah khususnya dalam perkongsian Amalan terbaik TS25.
Beliau berharap jalinan kerjasama itu akan utuh dan berterusan.
Rombongan staf SK Pukak juga berpeluang mendengar taklimat khas berkaitan profil sekolah, Kebitaraan dan pencapaian SK Malangang Baru yang disampaikan Penolong Kanan Pentadbiran Puan Dalitah Madin.
Sempena lawatan muhibbah itu, kedua-dua sekolah tersebut sepakat untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan semua Guru Penolong Kanan, guru-guru dan AKP.