Teroka bidang baharu yang mampu bawa pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat – Dr. Joachim

TAWAU: Ahli-ahli Majlis bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk meneroka bidang-bidang baharu yang mampu membawa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di kawasan yang berada di bawah tanggungjawab mereka.  

Advertisements

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerana itu mereka perlu bersedia untuk meneroka bidang baharu selain berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk kemajuan sesuatu kawasan demi memberi keselesaan dan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Ahli-ahli Majlis dan PBT perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sebagai kerajaan ketiga dalam struktur pentadbiran kerajaan,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau yang diadakan di Dewan Sri Tawau, di sini, baru-baru ini.

Mengucapkan tahniah kepada semua Ahli-ahli Majlis yang menerima watikah pelantikan mereka, Dr. Joachim berkata, amanah dan tanggungjawab tersebut amat berat dan penting kerana mereka adalah pemimpin kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Menurutnya, barisan Ahli-ahli Majlis terutama yang baharu perlu mengetahui matlamat PBT dan Dasar Kerajaan Negeri dalam melaksana kewajipan dan tugas masing-masing.

“Lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang, peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin akan permasalahan masyarakat setempat serta ambil tahu keadaan sekeliling dan global,” ujarnya.

Beliau berharap, Ahli-ahli Majlis dapat memberi sepenuh komitmen kepada tugasan baharu mereka dengan membantu Presiden serta semua warga kerja Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam melaksanakan segala gerak kerja dan agenda perancangan yang sedang atau bakal dilaksanakan nanti.

“Bekerjalah seperti “aur dengan tebing’’, agar segala tanggungjawab yang direncanakan dapat dilunaskan dengan lebih pantas dan efisien,” katanya.

Beliau menegaskan, lantikan ini bukanlah satu keistimewaan malahan ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang penting untuk membantu penduduk di daerah Tawau.

“Pelantikan ini juga bukanlah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun ahli keluarga masing-masing. Malahan, tanggungjawab dan amanah semua ahli adalah berat dan sangat penting untuk masa depan daerah Tawau. Ahli-ahli Majlis perlu terus peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertangungjawab untuk menyumbang idea dan kepakaran dalam memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan MPT,” katanya lagi.

Dr. Joachim berharap, mereka dapat bekerja sebagai satu pasukan, untuk bersama-sama berganding bahu dengan Presiden serta seluruh warga kerja MPT.

“Bersama-sama dengan Presiden, pegawai-pegawai kanan serta seluruh warga kerja MPT, Ahli-ahli Majlis merupakan benteng dan tunjang utama kepada pentadbiran Kerajaan Negeri selain kerjasama dan sokongan padu yang diberikan oleh barisan jentera perkhidmatan awam negeri Sabah yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.

“Justeru, besar harapan saya agar mereka yang telah dilantik dapat memainkan peranan sebagai perantara dan pemudah cara antara MPT dan masyarakat di negeri Sabah ini sekali gus mengangkat martabat PBT bertunjangkan komitmen yang berintegriti, dinamik dan prihatin. Ini selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya untuk membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama dan kebertanggungjawaban setiap anak Sabah untuk menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Selain daripada itu, sebagai pemimpin masyarakat, beliau menyeru kepada semua Ahli Majlis untuk turun padang melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

“Inilah tugas yang saya sering katakan menjadi tidak popular dalam kalangan sebahagian pihak untuk memenuhi keperluan sebahagian pihak yang lain,” katanya.

Beliau menyeru agar barisan kepimpinan baharu ini berani melakukan transformasi ke arah kebaikan dan kemajuan PBT serta dapat melaksana amanah kerajaan dan masyarakat tempatan yang diwakili dengan penuh integriti.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @Hamid Hj. Awang; ADUN Kukusan merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Rina Jainal; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian, Faridah Giau; Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, Pemimpin-pemimpin Pembangunan Masyarakat serta Pegawai-pegawai Kanan MPT.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles