KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menumpukan usaha membangun pengajian tinggi memfokuskan bidang pengajian Islam.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, UMS dan USIM bersetuju untuk mengadakan kolaborasi dalam bidang berkaitan akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan juga staf antara kedua-dua institusi serta projek-projek berkaitan.
Katanya, kerjasama tersebut akan diterajui oleh Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS sebagai salah satu usaha memperkasakan graduan fakulti berkenaan.
“Saya berasa sangat bertuah kerana UMS dan USIM sekali lagi secara rasminya akan melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam pelbagai aspek sepertimana yang wujud dalam kertas kerja perbincangan MoU di antara UMS dan USIM.
“Dalam perutusan tahun baharu dan 100 hari saya sebagai Naib Canselor, saya telah memperkenalkan slogan “Leading Towards Innovative Societies.” Slogan ini amat signifikan dan berpandangan jauh serta mendasari visi universiti untuk menjadi universiti berinovatif di peringkat global selari dengan motto universiti iaitu Bertekad Cemerlang.
“Justeru, diharap dengan kerjasama MoU antara UMS dan USIM, kedua-dua universiti ini dapat bertindak sebagai peneraju kepada masyarakat berinovatif,” ujarnya.
Tambah Kasim, kerjasama itu juga selaras dengan visi dan misi USIM dalam mengaplikasi pendekatan seimbang antara aspek jasmani dan rohani, dan menerapkan pendekatan holistik ke arah penyampaian ilmu, yang mengintegrasikan ilmu wahyu (Naqli) dan ilmu yang dituntut (Aqli).
“Kerjasama ini juga memberi ruang kepada UMS untuk menambah program sedia ada dan menjadikan USIM sebagai salah satu rujukan program akademik berkaitan pengajian Islam,” katanya.
FIS UMS akan menawarkan dua program baharu iaitu Syariah dan Usuluddin bagi menambah program pengajian sedia ada dalam melahirkan graduan yang memenuhi permintaan kerjaya semasa.
Pada majlis menandatangani MoU tersebut, UMS diwakili Kasim dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, manakala USIM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Pendaftar USIM, Dato’ Mohammad Haizuan Rozali.