KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa, di sini.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 54 tahun mempunyai alamat terakhir di No. 3, Lorong 3 RRM Semambu, 25350 Kuantan, Pahang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Asyraf Mustafa menerusi talian 013-4405210.
Semalam, Bernama melaporkan SPRM menahan seorang pegawainya dan tiga individu lain termasuk seorang wanita pada Khamis lepas kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 bagi mengelakkan siasatan melibatkan kes program Jana Wibawa.
Menurut sumber, wanita berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala tiga suspek lain kini direman hingga esok.
Sehubungan itu, SPRM sedang mencari ‘Datuk Roy’ yang sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah, kerana dipercayai menjadi perancang utama dalam kes rasuah berkenaan.
— BERNAMA
Datuk Roy dicari bantu kes Jana Wibawa
Advertisements