RANAU: Kerajaan akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan khususnya bagi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian selepas mendengar taklimat bagi dua projek iaitu projek Menaik taraf Jalan Terawas-Malinsau-Kaingaran dan Projek Membina Jalan ke Mini Estet Sejahtera (Mesej) Mansalu Ranau, Fasa II.
Taklimat disampaikan oleh Jurutera Daerah, Erwana Farhanah yang diadakan di Dewan Kampung Meridi, Kaingaran, di sini.
Bagi projek menaik taraf jalan, ia melibatkan sepanjang 39.515 kilometer jalan raya dua lorong satu laluan dengan reka bentuk piawai R2 JKR.
Projek ini bermula dari Kg. Terawas dan merentasi beberapa kampung sehingga tamat di Kg. Kaingaran. Tempoh projek ialah 36 bulan.
Sebanyak 17 kampung yang akan mendapat manfaat daripada pembinaan jalan raya ini antaranya Kg. Timbua, Kg. Merungin 1 dan Merungin 2, Kg. Pinampadan, Kg. Tumbalang, Kg. Kepuakan, Kg. Mokodau, Kg. Malinsau, Kg. Mempakot, Kg. Mengkapoh, Kg. Wayan, Kg Sinurai, Kg. Tinaum, Kg. Meridi dan Kg. Pinupudan.
“Saya percaya ini juga yang telah dipohon oleh pemimpin sebelum saya, iaitu kemudahan infrastruktur untuk rakyat. Kita semua akan kerja bertungkus lumus untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan yang sepatutnya,” kata Dr. Joachim.
Katanya, skop kerja yang akan terhasil daripada projek ini ialah pembinaan pembentung merentasi sungai, anak sungai dan aliran air.
Selain itu, kerja -kerja pemotongan cerun, penambakan, pemulihan dan perlindungan cerun juga akan dilaksanakan.
Sehubungan itu, hasil daripada penaiktarafan terdapat juga beberapa jambatan akan dibina iaitu dua jambatan sepanjang 40 meter, dua jambatan sepanjang 75 meter dan satu jambatan sepanjang 30 meter.
Manakala projek pembinaan jalan ke Mesej Mansalu Ranau (Fasa II) melibatkan jarak 70.540 KM. Sebanyak tujuh kampung terlibat iaitu bermula dari Kg. Singgaron Baru, Kg. Langsat, Kg. Kirokot, Kg. Koboi Timbua dan Kg. Kawi.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berharap semua penduduk di sini akan bekerjasama dengan pemaju-pemaju yang akan terlibat dengan pembinaan jalan raya.
Menurutnya, ini adalah antara harapan dan sasarannya selama beliau menjadi wakil rakyat di DUN Kundasang.
Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani bersyukur kerana setelah menanti selama tujuh tahun baru mendapat jalan baharu.
“Keluhan daripada penduduk Ulu Sugut akhirnya terjawab,” katanya.
Beliau turut berharap penduduk setempat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Kedua-dua projek ini telah diangkat pada tahun 2016 dan kelulusan telah diperoleh pada tahun 2020, sementara pembinaan bermula pada 2023. Kos keseluruhan projek ialah RM657,499,551.
Turut hadir ialah Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Jupirin Hj Ruhimin; Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), Jaidi Adrian; Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Dounis Sani; Wakil-wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Anak Negeri (KAN), Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), dua Pemaju Perumahan Misi Maju Sdn Bhd yang diwakili oleh Larry Arif dan Perwira Progresif yang diwakili Debbie Pinjinus; dan Ketua-ketua Jabatan dalam daerah Ranau.