LAHAD DATU: Seramai 160 orang peserta terdiri daripada masyarakat yang tinggal di Daerah Lahad Datu dan Kunak menjayakan Program Sosio-Ekonomi ESSCOM anjuran bersama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Kesemua peserta telah ditawarkan mengikuti enam jenis Kursus Kemahiran Asas Jangka Pendek dengan tiga kursus iaitu Baik Pulih Telefon Bimbit; Pembuatan Makanan Berasaskan Hasil Laut; dan Pemprosesan Hasilan Soya Kursus diadakan di Daerah Lahad Datu dan kursus Asas Jahitan Pakaian Wanita (Baju Kurung & Jubah) diadakan di Daerah Kunak.
Dua lagi kursus iaitu Menggunting Rambut Lelaki dan Wanita dan Kek, Bun dan Pastri turut diadakan di kedua-dua daerah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd Ali ketika menyempurnakan majlis penutupan program berkata kursus yang dilaksanakan secara serentak selama tiga hari bermula 6 Mac itu bertujuan membantu peserta memperkasakan taraf sosio-ekonomi dan kesejahteraan mereka selaras dengan jaminan keselamatan yang diwujudkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Di samping itu, beliau berharap agar melalui kursus yang diikuti kemahiran para peserta dalam bidang tersebut dapat ditingkatkan dan secara langsung membolehkan para peserta menjana pendapatan seterusnya memperbaiki kehidupan mereka.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Bahagian Tindakan Awam, ESSCOM, Mohd Dzulhairul Shah Dzulkifli.
Selain kursus jangka pendek, turut diadakan taklimat berkenaan ESSCOM dan insurans i-Suri, serta pameran dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikthiar, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semasa majlis penutupan program yang berlangsung di Dewan Perdana, Lahad Datu.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Latihan Kemahiran JPSM, Salbia Abas, pegawai mewakili Lahad Datu dan Kunak dari Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Am, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pegawai-pegawai kanan