SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, hari ini mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat berkenaan apakah rancangan jangka panjang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk mengatasi harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi antara Semenanjung dan Sabah, terutamanya semasa musim perayaan.
Dalam jawapan Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke berkata, MOT memandang serius akan keluhan dan rugutan rakyat mengenai harga tambang tiket penerbangan yang tinggi, serta diluar kemampuan terutama semasa musim perayaan.
Jelasnya, penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat penerbangan negara adalah berdasarkan kepada rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006.
Tambahnya, dalam hal ini, Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa syarikat penebangan negara yang menyediakan perkhidmatan udara domestik diberikan kebebasan dalam menentukan liputan rangkaian ataupun network coverage, kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang ingin ditawarkan berdasarkan kepada permintaan pasaran.
Berkenaan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik, termasuk laluan laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, dalam hubungan ini, pihak syarikat penerbangan ada melaksanakan inisiatif khas bagi menawarkan tiket penerbangan pada harga yang rendah.
Katanya, sebagai contoh, AirAsia Aviation Group Limited telah menyediakan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke enam destinasi di Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023 yang lepas sempena samputan Tahun Baru China.
Air Asia juga menyediakan 62 penerbangan tambahan, tambahan 11,400 tempat duduk pada tambang rendah tetap dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru, ke tujuh destinasi di Sabah dan Sarawak dari 19 hingga 21 April 2023 dan 28 hingga 30 April 2023 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang iaitu daripada Semenanjung ke Sabah pada harga RM249.
“Saya difahamkan selepas dua hari ia dilancarkan sudah lebih 3,000 tiket telahpun dijual ke laluan yang amat popular terutamanya di antara Kuala Lumpur ke Tawau, Kuala Lumpur ke Sandakan dan ia hampir habis dijual.” Jelas Loke kepada Vivian.
Dalam pada itu, ketika menyampaikan soalan tambahan, Vivian bertanya, adakah MOT akan memperkenalkan pakej-pakej penerbangan dalam harga yang berpatutan kepada para pelajar dari Sabah dan Sarawak bagi mengatasi masalah tambang penerbangan semasa cuti semester selain pertimbangan untuk membuka laluan baru dari Penang atau Johor ke Sandakan bagi mengurangkan kos transit bagi warga Sandakan.
Ini kerana, berdasarkan carian pada minggu lalu, harga tiket penerbangan untuk balik ke Sandakan sahaja boleh mencecah RM 1,400 untuk sehala.
Menerusi jawapannya, Loke berkata, ketika ini Malaysia Airlines Berhad ada menawarkan program khas untuk pelajar iaitu MH Explorer di mana para pelajar yang berdaftar dengan program tersebut layak menikmati diskaun sehingga 30% daripada harga tiket penerbangan.
Ini juga yang sedang dilaksanakan oleh MH Explorer.
“Manakala bagi inisiatif syarikat-syarikat penerbangan yang lain, kita cuba bincangkan dengan syarikat itu.” Jelasnya.
Pihaknya juga akan berjumpa dengan pihak MyAirline, sebuah syarikat penerbangan yang baru di negara ini.
“Saya juga akan bangkitkan supaya melihat kepada penerbangan yang belum ada operasinya sekarang.” Tambahnya.
Ia seperti laluan yang dicadangkan di antara Penang ke Sabah dan Sarawak.
“Kita akan cuba tambah kapasiti untuk syarikat-syarikat penerbangan yang lain.” Jawabnya.
Vivian berharap pihak kerajaan akan tampil dengan justifikasi berkenaan sekaligus meringankan kos rakyat khasnya yang mahu balik atau pergi ke Sabah dari Semenanjung.
Jelasnya, dengan harga tiket yang munasabah, sudah pasti ia akan memberi kemudahan kepada rakyat selain mengeratkan lagi perhubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.