KOTA KINABALU: Acara sukan dan rekreasi yang sebelum ini terbatas akibat penularan pandemik COVID-19 kini kembali rancak.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai persatuan atau kelab bola sepak di Sabah untuk menganjurkan pertandingan bola sepak bagi membantu mencungkil bakat-bakat baharu.
Salah satu kelab yang menyahut cabaran itu ialah Kelab Bola Sepak BMU.
Kelab itu telah berjaya menganjurkan Kejohanan Liga Super bola sepak 8 penjuru BMU FC siri 1 tertutup 2023 yang disertai lapan pasukan di Padang Kampung Ganang, Kepayan, dekat sini pada Ahad.
Pengerusi Penganjur Ninewjo Newmond berkata kejohanan Itu, antara lain, bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli dan peminat sukan itu selain mencapai sasaran KPI aktiviti tahunan kelab bola sepak BMU.
Beliau berkata susulan sambutan yang memberangsangkan, pihaknya bercadang untuk menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan pada masa depan.
“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan pemain, termasuk AJK Kelab Bola Sepak BMU yang sama-sama bertungkus lumus menjayakan kejohanan itu kali ini.
“Saya berharap kerjasama seumpama ini akan berterusan demi kebaikan bersama,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kejohanan sehari itu menyaksikan pasukan Rumah Sukan Hijau mengungguli saingan yang julung kali diadakan itu.
Pasukan itu muncul juara keseluruhan daripada 8 pasukan yang menyertainya, sekali gus merangkul piala sumbangan kelab berkenaan.
Pasukan rumah sukan Hitam pula muncul naib juara manakala rumah sukan Putih menduduki tempat ketiga.