KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan Belanjawan Malaysia Madani 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengumuman terbaik yang menyaksikan satu belanjawan besar bagi memulihkan semua sektor ekonomi yang terjejas semasa pandemik.
Beliau berkata selain peruntukan pembangunan RM6.5bilion di Sabah, peruntukan RM2.5 bilion diberikan bagi pembangunan kemudahan asas, infrastruktur, bekalan air dan elektrik serta pembangunan penjagaan kesihatan kepada Sabah.
Ia termasuk RM1 bilion pembangunan sempadan bandar termasuk Kalabakan di Sabah dan Ba’kelalan di Sarawak, katanya.
“Saya berharap rakyat Sabah akan dapat memanfaatkan peruntukan RM30juta untuk penambahbaikan klinik dan bank bergerak.
“Sebagai negeri yang luas dengan kawasan pedalaman, kemudahan ini harus dipertingkatkan,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga ADUN Usukan menyambut baik peruntukan RM100 juta untuk program pemerkasaan Jualan Rahmah di setiap Parlimen.
“Ini merupakan cara untuk membantu masyarakat pelbagai di kawasan bersasar dan strategik.
“Saya yakin diskaun 30 peratus bahan mentah peniaga menjalankannya menu rahmah akan memperbanyakan lagi sambutan (terhadap program itu),” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk membantu golongan IKS, termasuk daripada segi pengurangan cukai, pinjaman perniagaan mahupun membaikpulih gerai dan kiosk di seluruh negara.
Sehubungan itu, Salleh menyeru peniaga IKS memanfaatkan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan yang menyediakan pinjaman berjumlah RM20 billion untuk meluaskan perniagaan.
Ia termasuk RM1.7bilion dibawah Bank Negara, BSN and TEKUN, katanya.
“Semoga Belanjawan 2023 menjadi belanjawan yang inklusif dan pastikan mampu membantu memulihkan ekonomi negara.
“Sebagai rakyat dan pemimpin, kita juga boleh sama-sama berada dalam lingkungan ekonomi bagi merancakan lagi pembangunan negara.” kata Salleh.