KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menzahirkan sokongan “tanpa syarat” kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor demi kepentingan rakyat negeri ini,
Presidennya Datuk Peter Anthony berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat ahli majlis tertinggi KDM selepas mengambil kira semua faktor termasuk situasi politik semasa dan semangat kebersamaan dalam gabungan kerajaan Perpaduan khususnya di peringkat Persekutuan.
“Keputusan ini dibuat bukan kerana kepentingan peribadi atau parti tetapi yang lebih penting ialah kita sama-sama fokus untuk membangunkan negeri Sabah.
“Sebab itu, pada hari ini parti KDM menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji tanpa syarat untuk terus menerajui pentadbiran negeri ini,” katanya.
Peter berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.
Beliau menegaskan bahawa parti itu akur dengan keputusan Perdana Menteri agar kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat persekutuan dan juga di peringkat negeri Sabah.
Katanya susulan kemelut politik yang berlaku di Sabah baru-baru ini, semua pihak termasuk KDM diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Bagaimanapun, Peter berkata sudah tiba masanya KDM menyatakan pendiriannya agar gencatan politik dilakukan segera di Sabah demi memastikan pertikaian tidak berterusan yang hanya merugikan rakyat.