Koperasi perlu beralih daripada konvensional kepada ekonomi digital: Ewon

PENAMPANG: Koperasi perlu beralih daripada perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Advertisements

Beliau berkata, ini kerana pemasaran melalui platform digital dan pembayaran secara dalam talian kini menjadi norma baharu dan amat penting dalam perniagaan.

Sehubungan itu katanya, koperasi perlu mempelajari selok belok menggunakan platform digital untuk memperluas skop perniagaan.

“Pada masa ini, negara kita berada dalam fasa proses pemulihan akibat pandemik COVID-19 yang menyedarkan kita betapa pentingnya ekosistem digital untuk mencegah kejatuhan perniagaan seterusnya ekonomi negara.

“Justeru, koperasi perlu berani dan mengambil peluang melakukan perubahan serta melonjakkan ekonomi digital agar gerakan koperasi tidak ketinggalan dalam mengarusperdanakan ekonomi negara. Sekurang-kurangnya operasi dan pentadbiran koperasi dapat ditambahbaik atau dimodenkan melalui teknologi canggih dan sistem digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi 2023, anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di ITCC Penampang, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Haji Zamri Salleh dan Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pendigitalan koperasi merupakan antara fokus utama KUSKOP dalam menyediakan program intervensi bagi memulihkan semula perniagaan koperasi mengikut norma baharu.

“Oleh itu, KUSKOP melalui kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), IKMa dan ANGKASA akan melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2021-2025 untuk gerakan koperasi pada tahun ini.

“Pelan tersebut akan menggariskan inisiatif-inisiatif yang akandilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.

“KUSKOP yakin dengan adanya pelan tersebut ia mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP dengan kerjasama agensi di bawahnya SKM dan IKMa akan terus komited meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi dan konsep koperasi melalui MASKOP.

“Program MASKOP ini adalah antara inisiatif yang digariskan dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025. Matlamat utamanya adalah untuk memupuk semangat berkoperasi disamping meningkatkan pengetahuan orang ramai termasuk penjawat awam dan sektor swasta berkaitan koperasi.

“Dalam masa yang sama, program ini juga dijadikan satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata, melalui program ini, KUSKOP berharap agar mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

“KUSKOP berhasrat agar lebih banyak koperasi ditubuhkan terutama dalam kalangan B40, OKU, miskin bandar, masyarakat luar bandar, pedalaman dan masyarakat orang asli/asal bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat.

“Penyertaan kalangan profesional, belia dan penjawat awam juga penting memandangkan golongan ini dapat bertindak sebagai penyumbang idea dan pandangan dalam memastikan gerakan koperasi berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara,” katanya.

Beliau yakin penyertaan segenap lapisan masyarakat dalam koperasi akan dapat mencorakkan masa depan gerakan koperasi yang lebih cemerlang.

“Bagi menggalakkan dan memudahkan masyarakat menubuhkan koperasi, syarat penubuhan koperasi telah dilonggarkan melalui pindaan yang dibuat ke atas Seksyen 5 Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang diwartakan pada 1 April 2021.

“Dalam hal ini, bilangan individu bagi mendaftarkan sesuatu koperasi asas dikurangkan daripada 50 kepada 20 orang.

“KUSKOP melalui SKM juga telah menambahbaik Garis Panduan Berkenaan Dengan Pendaftaran Koperasi (GP12) bagi memberi panduan serta tatacara kepada orang awam untuk mendaftarkan sesuatu koperasi,” katanya.

Sementara itu, seramai 400 usahawan, ahli koperasi dan penjawat awam menghadiri Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023, di International Technology & Commercial Centre (ITCC), dekat sini.

Program itu yang dianjurkan Institut Koperasi Negara (IKMa) dan Kementerian Pembangunan Usahwan dan Koperasi (KUSKOP).

Ewon berkata, antara tujuan program itu dilaksanakan adalah untuk memberi informasi kepada koperasi dari segi latihan, perniagaan dan ekonomi serta maklumat mengenai bantuan dan sokongan oleh agensi di bawah KUSKOP.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles