PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, isu banjir di Penampang dibincang dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan, hari ini.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, psds mesyuarat itu Timbalan Perdana Menteri I yang juga menteri penyelaras bencana negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk menyalurkan peruntukan khas mitigasi sementara.
“Seperti komitmen saya beberapa hari lepas, saya telah membangkitkan kekerapan insiden banjir di Penampang dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan yang baru selesai bermesyuarat tadi.
“Saya telah mencadangkan beberapa perkara iaitu projek pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Moyog dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta dapat dimasukkan dalam agihan peruntukan tebatan banjir bermula tahun ini.
“Saya juga mencadangkan supaya sejumlah peruntukan khas bencana disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyelenggara dan membaikpulih parit-parit, anak sungai dan sungai di Penampang yang tersumbat dan menjadi antara punca limpahan dan takungan air banjir,” katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat kabinet persekutuan, hari ini.
Ewon turut merakamkan ucapan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan Jemaah Menteri yang prihatin dan turut sama komited menyegerakan projek tebatan banjir di seluruh negara.
“Terima kasih juga kepada Timbalan Perdana Menteri I yang mempengerusikan tindakan bencana negara meluluskan peruntukan khas menyelenggara parit, anak sungai dan sungai di Penampang yang tersumbat untuk dilaksanakan.
“Ini adalah langkah mitigasi sementara menunggu pelaksanaan sebenar projek lembangan sungai bersepadu Sungai Moyog tersebut,” kata Ewon.
Esok, Ewon akan meluangkan masa turun padang meninjau beberapa ‘blockage’ Sungai Moyog yang menjadi antara punca banjir melimpah.
“Saya akan terus mengambil “leadership” dalam usaha mengurangkan insiden bencana banjir di Penampang. Saya berharap mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak. Saya akan terus bekerja keras,” katanya.