KOTA KINABALU: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata anak muda wajar diberi kepercayaan sepenuhnya untuk membentuk landskap politik tenpatan di Sabah.
“Kita anak muda, yang masih bersama BERSATU selepas ramai yang lain sudah pergi meninggalkan perjuangan BERSATU, akan bekerja untuk membuktikan bahawa kami mahu membentuk landskap politik matang dan relevan sesuai dengan acuan negeri kita.
“Saya sebagai kepimpinan baharu dalam Armada akan bekerja untuk membuktikan bahawa saya bersama rakan-rakan Armada yang lain, akan terus berjuang dan bekerja membawa nama dan perjuangan parti.
“Kita mahu bentuk landskap politik baharu, kita tidak mahu berpolitik tanpa kematangan dan melulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Penyampaian Watikah kepada Ketua-Ketua Armada Bahagian seluruh Sabah di sini pada Sabtu malam.
Menurut Muhammad Affan, Armada Sabah sangat berharap agar pimpinan BERSATU di peringkat Pusat memberi kepercayaan dan keyakinan kepada barisan pimpinan Armada Negeri Sabah yang baharu dilantik, bagi menggantikan semula barisan kepimpinan yang sudah keluar parti.
“Yang tinggal inu adalah pendekar, yang lama dah pergi semua.
“Saya akan buktikan bahawa ramai lagi anak muda yang bersama kita, berjuang bersama kita dalam Armada BERSATU.
“Kita tidak akan berhenti dan tidak akan merasakan lemah, kerana kita tidak lemah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut sama hadir berkata perjuangan BERSATU di Sabah akan diteruskan dan kerjasama dari pimpinan BERSSATU Pusat akan terus bersama Armada Sabah.
“Saya minta Armada di Sabah bekerja keras untuk bawa perjuangan parti kita, terus yakin dan setia dengan BERSATU.
“Kita tidak lemah, kita kuat, jangan sama sekali merasakan kita kerdil.
“Kita ada lebih banyak kerusi di Parlimen berbanding parti lain dan ini adalah satu penguat kita, untuk bekerja lebih keras untuk perjuangan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
“Kita yakin BERSATU bersama Perikatan Nasional akan berjuang dengan prinsip yang telus, betul dan kita berkhidmat untuk bumi bertuah dengan matlamat untuk membawa perubahan lebih baik,” katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah merangkap Timbalan Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Seri Roanld Kiandee.
Ronald ketika berucap menegaskan bahawa BERSATU Sabah kini berjuang dengan memandang ke hadapan dan tidak pernah rasa kecundang.
“Kita tidak mahu henti melangkah dan tidak mahu menoleh ke belakang kerana kita mahu kekal dan teruskan berjuang.
“Kita tidak kecil, kita tidak kecundang walaupun kita ditinggalkan dan masih ramai pemimpin bahagian yang kekal bersama kita.
“Saya ingin Armada bangkit dan kuat kerana Armada tidak lumpuh, pimpinan Armada kini mempunyai struktur baharu yang hampir lengkap dan akan dipimpin semula oleh idea dan semangat baharu dari saudara Muhammad Affan Jumahat, ketua baru Armada yang saya yakin akan menerajui Armada dengan semangat juang yang kuat,” katanya.
Tambah Ronald lagi, perjuangan Armada BERSATU adalah perjuangan sayap yang menjadi kekuatan parti dan akan terus dilebarkan pengaruh serta perjuangan secara perlahan-lahan.
“Kita lebarkan pengaruh dan perjuangan perlahan-lahan, kita bangkit dengan perjuangan sekarang, lengkapkan semula struktur parti kita dan proses pemulihan serta pemutihan,”ujar beliau lagi.