KOTA KINABALU: Pengarah Eksekutif Qhazanah Sabah Berhad, Mohd Shukor Abdul Mumin hari ini membuat laporan polis terhadap bloggers Sabahbigmouth.com dan sabahbarunews.com berhubung tohmahan dan penulisan yang dikatakan berunsur fitnah.
Beliau membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Bandaraya Kota Kinabalu di Kepayan, dekat sini.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa apa yang dipaparkan dalam penulisan bloggers tersebut adalah tidak benar, berunsur fitnah, berniat jahat dan rekacipta mereka-mereka yang sengaja menghasilkan tulisan murahan mereka.
“Tiada apa-apa yang disembunyikan, semuanya telus,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.
Mohd Shukor berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan terperinci termasuk mengenalpasti identiti kedua-dua penulis blog itu.
“Saya tidak dapat dedahkan walaupun saya tahu (identiti penulis) kerana perkara tersebut masih dalam siasatan polis,” katanya.
Menurutnya bloggers sabahbigmouth.com dan sabahbarunews.com telah menuduh dan mengaitkannya dengan amalan salah guna kuasa dan urusan penjualan 45% kepentingan anak syarikat Qhazanah, Common Tower Technologies Sdn Bhd kepada syarikat Semenanjung Stealth Solutions Sdn Bhd yang dimiliki oleh Dato’ Amrul Hisyam Alias.
“Segala tuduhan yang terkandung di dalam artikel-artikel tersebut adalah tidak tepat sama sekali dan berniat jahat.
“Saya serahkan kepada polis untuk membuat siasatan,” katanya.
Mohd Shukor juga tidak menolak kemungkinan tuduhan dan tohmahan bertali arus kebelakangan ini yang dilemparkan terhadap Qhazanah didalangi oleh “orang tertentu” yang berniat jahat untuk membunuh karakter individu atau pemimpin tertentu.
Sebelum ini, ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak turut menyifatkan perbuatan mengaitkannya dengan amalan rasuah dan penyelewengan di Qhazanah yang tersebar di media sosial sebagai cubaan mencemar nama baik.
Menurutnya dakwaan dan kenyataan itu direka-reka dengan niat jahat (mala fide).
Bekas ketua menteri Sabah itu menegaskan bahawa penjualan saham berkenaan (Common Tower Technologies) telah mengikut proses yang sewajarnya dan prosedur yang betul.
Ia juga telah diluluskan oleh “kerajaan negeri Sabah “, katanya.