Oleh Dr Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS
KOTA KINABALU: Dialog Persaudaraan Bajau Internasional yang berlangsung di Kota Jakarta, Indonesia pada 25 Januari 2023 adalah hasil inisiatif Persatuan Orang Sama Bajau Indonesia (POSBI) yang mengundang khas persatuan-persatuan Bajau Sama di Malaysia, khususnya dari negeri Sabah. Sesi Dialog yang berlangsung sehari ini turut diserikan dengan Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Rumpun Bajau Sama Sabah (RBSS) dan Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS) yang diadakan pada malam 24 Januari 2023. Turut mengambil bahagian dalam Dialog ini ialah persatuan Orang Sama dari serata negara Republik Indonesia. Selain RBSS dan PEKAS, Dialog ini turut dijayakan oleh Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO), Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sama Sabah (BSBB), Persatuan Sama Sabah (PSS), dan Yayasan PROSPEK.
Ibu Erni Bajau, Presiden POSBI, menjelaskan bahawa Dialog yang diadakan itu adalah untuk menemukan komuniti Orang Sama yang terdapat di Indonesia dan Bajau Sama di Malaysia bagi bertukar-tukar pandangan mengenai strategi yang boleh meningkatkan pembangunan komuniti Orang Sama atau Bajau Sama yang terdapat di kedua bua negara berjiran ini.
Terdahulu undangan ini telah diangkat ke perhatian Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, Ketua Menteri Sabah, selaku Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS). Hadir dalam kunjungan terhadap YAB Ketua Menteri itu ialah Dato Sri Hj Nasir Tun Sakaran, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Datuk Abdul Hajan Gurimbang dan Hj Mohd Syam Mohd Muksan. Rombongan ini kemudiannya bersama beberapa orang delegasi lain telah diamanahkan oleh YAB Ketua Menteri sebagai mewakili Rumpun Bajau Sama Sabah ke Dialog yang diadakan dengan diketuai oleh Dato Sri Hj Nasir Tun Sakaran.
Dalam ucapan Makan Malam yang dihoskan oleh RBSS dan PEKAS, Dato Sri Hj Nasir melihat bahawa selain menjadi satu wahana untuk membentuk kerjasama erat dalam kalangan komuniti Orang Sama/Bajau Sama, Dialog yang diadakan juga boleh dilihat dari konteks merapatkan hubungan silaturrahim rakyat di kedua buah negara. Apatah lagi wilayah Sabah dan wilayah Kalimantan di Indonesia ini telah punn mempunyai hubungan yang unik dan akrab sejak dahulu lagi. Malah, masih ada tali kekeluargaan yang sangat dekat dalam kalangan mereka.
Menurut Dato Sri Nasir, realiti ini akan sekaligus dapat menjadikan hubungan sedia ada sebagai pemangkin kepada usaha kemakmuran yang berupaya meransang pembangunan ekonomi rakyat di kedua belah negara. Hendaknya, dari Dialog Persaudaraan Bajau Intenasional ini ruang hubungan dua hala kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan terbuka lebih luas lagi.
“Kehadiran kita di Kota Jakarta ini akan merintis perkenalan awal menerusi sesi biacara santai yang bersalut hubungan kekeluargaan Orang Sama atau Bajau Sama. Semoga kelak rumpun Bajau Sama di Asia Tenggara ini menjadi salah satu komuniti yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara masing-masing” Ujar Dato Nasir lagi.
Dialog yang diadakan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, yang menyampaikan hasil kajian bertajuk “Kelestarian Sosio-Ekonomi Bajau Sama di Sabah, Cabaran dan Peluang.” Dialog turut dihadiri oleh beberapa orang wakil rektor universitas, Pimpinan politik, wakil Bupati daerah, dan perwakilan komuniti Orang Sama dari pelbagai provinsi di Indonesia.
“Menerusi keunikan yang terdapat pada satu-satu komuniti itu, ianya akan menjadi pelengkap kepada kekuatan sesebuah negara. Hal ini berlaku kerana setiap komuniti mempunyai kepelbagaian yang jika digabungkan boleh menjana kekuatan dan memberi impak kepada kelestarian ekonomi mereka. Kajian-kajian juga mendapati bahawa masyarakat Bajau Sama ini terdapat di beberapa buah negara lain di dunia dan bukan sahaja di rantau Asia Tenggara. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Bajau Sama ini bukan sahaja pelaut yang hebat tetapi juga mempunyai budi pekerti yang mulia. Sebab itulah mereka dapat tinggal dan berasimilasi secara harmoni dengan masyarakat lain” Profesor Datuk Dr. Kasim.
“Saya juga ingin menawarkan kepada Komuniti ini di mana Universiti Malaysia Sabah bersedia untuk menjadi Sekretariat kepada usaha meningkatkan sosio-ekonomi Orang Sama atau Bajau Sama. Untuk itu, semua perkumpulan dan persatuan Orang Sama di Indonesia ini diharapkan dapat berhubung dengan pihak universitas tempatan agar membawa usul dari UMS ini untuk dijadikan sebagai rakan strategik ke arah usahasama kedua buah negara meningkatkan kemashlahatan komuniti menerusi wahana pendidikan dan penyelidikan.” Tambah Dr. Kasim lagi.
“Sebagai makluman para hadirin sekalian, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah telah pada dasarnya mempersetujui agar Kursi Penyelidikan Bajau Sama diwujudkan dengan segera di UMS. Sehubungan itu, sesuai dengan Dialog Persaudaraan Bajau Internasional ini ruang lingkup penyelidikan kelak dapat dilakukan merentas negara. Saya percaya hal ini menjadikan Kursi Penyelidikan Bajau Sama ini dapat mempercepatkan lagi penemuan-penemuan penting yang boleh digubah menjadi strategi yang efektif dalam membangun kehidupan rakyat sama ada di Malaysia mahu pun Indonesia.” Profesor Datuk Dr Kasim.
Dialog ini telah dirasmikan oleh Wakil Menteri Agraria dan Tata Ruang, Badan Pertahanan Nasional Republik Indonesia, Yang Terhormat Raja Juli Antoni. Sesi-sesi dialog di moderatorkan oleh Datuk Dr Saadillah Hj Abdillah, Hj Awang Rablah Salil, dan Zulkifli Azir. Turut hadir mewakili negeri Sabah, Malaysia ialah Datin Sri Hjh Rokia Hj Badar, Datuk Hj Mohamad Said Hj Hinayat, Datuk Hj. Abdul Hajan Gurimbang, Datuk Jumat Idris, Datuk Hj Salsidu Hj Ibrahim, Puan Chendramata Hj Sinteh, Dr Jakaria Dasan, Jamlin Ladin, Noorziah Mastan, Hj. Zainal Jalaludin, Ahmad Najib Nasir, Mohd Said Julpin, Mohamad Asmaan Syaheer Hj Mohamad Said, Hjh Saedah Dali serta ahli rombongan lainnya.
Puan Erni Bajau dalam ucapan aluannya turut menyentuh mengenai beberapa objek dalam kalangan Orang Sama yang dinamakan Ula-Ula Sama yang sama peranannya dengan Sambulayang yang digunakan oleh masyarakat Bajau Sama di Pantai Timur khususnya Semporna. Ula-Ula Sama ini mempunyai peranan yang sama, yakni untuk memaklumkan kepada masyarakat setempat dan sekitar mengenai majlis keramaian yang bakal diadakan seperti, majlis perkahwinan, kematian dan perayaan tahunan.
Juntaian kain yang terdapat pada sambulayang itu juga melambangkan sesuatu. Di mana terdapat makna-makna tertentu pada bilangan juntaian yang ada. Keunikan-keunikan seperti inilah yang jika dikongsikan dan didiskusikan khususnya menerusi wahana penyelidikan atau oleh institusi pengajian tinggi seperti UMS akan membawa kepada lebih banyak penemuan-penemuan berguna untuk didokumentasikan. Seterusnya, menjadi khazanah yang berguna buat manfaat masyarakat pada hari ini dan masa depan.