PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, amalan kunjung mengunjungi dan rumah terbuka sempena musim perayaan antara wadah terbaik merapatkan hubungan baik antara pemimpin dan masyarakat.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, amalan seumpama itu perlu diteruskan demi memupuk perpaduan kaum, sekali gus membantu mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.
“Bagi para pemimpin, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kita menemui rakyat akar umbi dan mendengar masalah serta keperluan mereka,” katanya.
Ewon meneruskan program santai bersama penduduk kampung sempena Tahun Baru Cina di Kg.Mahansung Sugud dan Kg.Kolopis selepas menghadiri rumah terbuka CNY Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zhe, di Dewan SM Tinggi Kota Kinabalu, kelmarin.
Antara keunikan sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Sino Kadazan di Penampang ialah hidangan makanan tradisi etnik Kadazan Dusun.
Seorang penduduk Kg.Sugud Jeffrin Likius berkata, tahun ini beliau mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina di rumah mentuanya di Kg Mahansung Sugud.
“Setiap tahun kami menyambut Tahun Baru Cina, Krismas dan Kaamatan. Sambutan CNY tahun ini amat istimewa kerana Datuk Ewon, seorang pemimpin yang kami kagumi dan hormati berkunjung ke rumah kami,” katanya.
Sambutan itu dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dari Persatuan Tarian Singa Fatt Chun kota kinabalu. Uniknya kumpulan ini, kebanyakan ahlinya adalah etnik Kadazan, Dusun dan Sino Kadazan.