SIPITANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob sepatutnya menumpukan perkhidmatannya daripada menjadi ‘Tali Barut’ dalam pergolakan politik pada ketika ini.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Parti Warisan (WARISAN), Abd Aziz Taip berkata, ketika meninggalkan warisan dulu beliau (Yusof) menggunakan alasan ‘demi rakyat’ namun kini ternyata gagal berfungsi seperti yang diharapkan oleh rakyat diwakilinya.
Katanya, masalah banjir, bekalan air, jalanraya, pengangguran serta isu pekerja dan penduduk Sabah Forest Industri (SFI) ternyata gagal diselesaikan sehingga kini.
“Bukankah Dr Yusof menjadi wakil rakyat di blok kerajaan….Mana sudah janjinya semasa melompat meninggalkan Warisan untuk memastikan nasib kepentingan rakyat terus terbela dan pembangunan berterusan.
“Tindakan Dr Yusof ketika ini menjadi tali barut (pengkhianat) dari dalam dengan cara menjadi ejen untuk mempengaruhi ADUN UMNO bagi menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi hari ini.
Abd Aziz merupakan Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, Dr Yusof sepatutnya mendesak kerajaan GRS agar menunaikan janji memberikan pampasan serta pekerjaan kepada pekerja SFI yang terjejas.
“Daripada sibuk menjadi agen untuk mempengaruhi ADUN UMNO lain untuk terus kekal menyokong kerajaan GRS.
“Jangan jadi seperti kaduk naik junjung. Lebih baik fokus kepada amanah pengundi DUN Sindumin kepada beliau, katanya.
Abd Aziz ingin mendapatkan penjelaskan kepada kerajaan GRS berjanji memberikan saguhati sebelum Hari Krismas lalu namun sehingga kini janji tersebut hilang tanpa berita.
“Adalah lebih baik Dr Yusof terus mendesak serta mengingatkan kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor supaya segera menunaikan janji beliau kepada pekerja SFI seperti dinyatakan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu,” katanya.