Kenyataan Media Bersama Pemimpin Parti Komponen GRS
KOTA KINABALU: Tindakan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah yang mengumumkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah membuktikan wujudnya gerakan awal yang telah dibuat bersama Parti Warisan Sabah untuk menggugat ketidakstabilan politik di negeri ini.
Tindakan ini adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari 2023.
Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri berpandukan kepada Perlembagaan Negeri.
YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan.
Pada masa yang sama, kami dengan ini mengesahkan bahawa Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah daripada GRS berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
GRS merupakan sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah. GRS juga menghargai sokongan majoriti ADUN-ADUN lain terhadap YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri termasuk daripada sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), ADUN-ADUN BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN-ADUN Dilantik.
Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak.
YBhg Datuk Seri Panglima Dr. Maximus J Ongkili Presiden PBS
YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan Presiden STAR
YB Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee Presiden SAPP
YBhg. Tan Sri Pandikar Amin Mulia Presiden USNO