KOTA KINABALU : Perbuatan beberapa orang pemimpin kanan dalam kabinet Kerajaan GRS-BN untuk menjatuhkan kedududukan Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri amat menyedihkan USNO.
Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia menyifatkan cubaan menggulingkan Hajiji semalam sebagai suatu perbuatan yang menjejaskan imej diri sendiri jika dilihat dari segi pengalaman dan kematangan berpolitik.
“Bagaimanapun, pengalaman dan kematangan mereka itu jauh tersasar….Pada masa ini, negeri Sabah tidak memerlukan Ketua Menteri baru atau kerajaan baru yang dipimpin oleh siapa siapa.
Ketua Menteri dan barisan menterinya yang ada sekarang ini adalah memadai sekiranya mereka yang berkenaan itu ikhlas menjalankan tanggungjawab masing-masing demi untuk kepentingan rakyat,” jelas Pandikar dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Ketua Menteri (Hajiji) adalah merupakan individu yang selayak-layaknya memegang jawatan sebagai Ketua kerajaan berdasarkan pengalaman beliau yang amat luas dalam pentadbiran dan sebagai wakil rakyat.
“Sebagai individu dalam dunia politik pula, Hajiji seorang yang mempunyai sikap inklusif, yakni idak suka bermusuhan, mengaibkan, menunjuk-nunjuk kelebihan diri atau memandai-mandai kerana beliau memberikan keutamaan kepada keseluruhan atau sama rata.
Akan tetapi, sebagai analogi, walaupun seorang ‘Nakhoda’ itu sarat dengan ilmu pelayaran dan sebagainya, bahtera yang dinakhodai oleh beliau tidak akan selamat sampai ke destinasi jika petugas-petugas lain tidak membantu Nakhoda mereka, tetapi disebaliknya merampas kuasanya sebagai Nakhoda,” jelas Pandikar lagi.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berkata, sejak merdeka, negeri Sabah telah diterajui oleh pelbagai individu dari pelbagai parti politik, namun sehingga kini, keadaan ekonomi dan politik negeri Sabah masih belum boleh dibanggakan, walaupun kebanyakan pemimpin yang memimpin dulu dan sekarang sarat dengan pengalaman pentadbiran dan punyai pelbagai kemahiran masing-masing disamping punyai pendidikan yang tinggi.
Kegagalan ini adalah disebabkan oleh tabiat ‘jatuh-menjatuhkan’ kerajaan yang berakhir juga dengan keadaan yang serupa seperti sebelumnya.
Pada masa keadaan politik nasional kini berubah yang disertai kesedaran dari pemimpin-pemimpin Malaya untuk melaksanakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sepatutnya pemimpin Sabah dari semua parti-parti politik bersatu padu dan memberikan sokongan kepada kerajaan GRS-BN dibawah teraju YAB DSP Hajiji Mohd Noor bagi membangunkan negeri Sabah dan bukan sebaliknya.
“Sebagai pemimpin kanan komponen kerajaan GRS – BN, yang dimandatkan oleh rakyat negeri Sabah untuk mentadbir kerajaan negeri, mereka sewajarnya berpadu fikiran dan tenaga membantu Ketua Menteri untuk melaksanakan tanggungjawab serta memberikan tumpuan khusus kepada kestabilan kerajaan yang mereka sendiri telah bertungkus lumus wujudkan setelah mengalahkan kerajaan Warisan pada PRN16.
Menggulingkan Ketua Menteri dan menjadikan Parti Warisan sebagai tulang belakang peneraju kerajaan Sabah semata-mata untuk mendapatkan beberapa portfolio yang diidamkan adalah suatu tindakan yang kurang bijaksana dan saya anggap ia sebagai ‘pengalaman sarat yang jauh tersasar’,” ujarnya lagi
“USNO tidak akan mencurahkan air setitik di dalam tempayan, walau terdengar gegak gempita guruh di langit”.