Pemilihan pemain Piala Presiden dan Piala Belia musim 2023.

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) akan mengadakan sesi pemilihan pemain bagi membawa cabaran pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk menghadapi saingan musim 2023.

Advertisements

Sesi pemilihan berkenaan dijangka akan diadakan menjelang Januari tahun hadapan membabitkan lapan zon di seluruh negeri ini.

Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, keputusan itu diambil hasil perbincangan dengan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Katanya, perbincangan berkenaan memutuskan pasukan untuk kedua-dua kejohanan ini akan dikendalikan oleh SAFA sendiri.

“Oleh itu, sesi pemilihan ini bertujuan untuk mencari pemain berkaliber bagi memantapkan lagi saingan pasukan Sabah dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

“Bagaimanapun, tarikh dan lokasi sesi pemilihan itu akan diumumkan sebaik pihak pengurusan SAFA dapat mengesahkan mengikut kesesuaian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Jelani berkata, pemilihan ini terbuka kepada semua pemain bawah 18 dan 20 tahun yang ingin melangkah lebih jauh dalam sukan bola sepak

Katanya, sesi pemilihan berkenaan akan dikendalikan panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat bersama barisan penyelaras dilantik dengan kerjasama SAFA daerah.

“Antara barisan kejurulatihan yang bakal dijemput untuk membantu dalam sesi pemilihan ini termasuklah Jelius Ating, Burhan Ajui dan Irwan Jamil,” katanya.

Sehubungan itu, Jelani berkata, ini adalah peluang terbuka kepada mana-mana lepasan sekolah atau pemain bawah 20 tahun yang ingin mengetengahkan bakat mereka.

“Kita mengharapkan pemain yang hadir pada sesi pemilihan itu nanti dapat menunjukkan prestasi terbaik sekaligus mampu memikat panel pemilihan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles