USIA kaji semula perjanjian yang merugikan – Sapawi

PUTATAN: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan mengkaji semula perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai terdahulu tetapi merugikan USIA, khususnya yang melibatkan pembangunan aset/hartanah milik USIA.  

Advertisements

Yang Dipertua USIA Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata sebagai contoh, tanah FMU seluas 10 ribu ekar milik USIA yang telah dibuat perjanjian dengan  Tabung Haji Plantation Sdn Bhd, sejak 18 tahun yang lalu.  

Menurutnya dalam tempoh berkenaan, USIA langsung tidak mendapat sebarang hasil.  

“Perjanjian seperti inilah yang sedang diperhalusi dan dikaji supaya USIA tidak terus menerus menanggung kerugian,” katanya.

Sapawi berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA kali ke-36 di sini malam ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa bangunan lama USIA di Sembulan akan dibaikpulih “kerana pihak Kepimpinan USIA berpendapat bangunan itu sarat dengan sejarah gemilang USIA”.  

Beliau berkata usaha itu, antara lain, bertujuan untuk memulihkan imej USIA.

Sapawi berkata selaras dengan usaha USIA meremajakan pertubuhan tersebut, USIA telah menubuhkan PUTERI USIA.

Katanya ia bertujuan menyokong dan menokok tambah peranan Belia dan Wanita USIA.

“Langkah penubuhan PUTERI USIA ini, sama sekali tidak bertujuan untuk meminggirkan mana-mana pihak, tetapi harus dilihat sebagai usaha menambah nilai matlamat Pelan Strategik Pembugaran USIA,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar USIA melibatkan diri atau memainkan peranan dalam hal-hal yang berkaitan dengan penjagaan alam sekitar.

Ini sangat bertepatan  dengan ajaran Islam yang sentiasa mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar, katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles