KOTA KINABALU: Wakil Sabah Pratama Legacy berazam melakukan persembahan terbaik pada saingan Festival Tari Malaysia peringkat Kebangsaan di Istana Budaya Kuala Lumpur selama dua hari bermula Sabtu ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah Mohd Jumran Bin Tambong berkata kumpulan seni tari dari Sabah itu akan bertarung dengan lapan pasukan lain yang layak ke pertandingan akhir festival berkenaan yang diadakan semula selepas Pandemik Covid-19.
Beliau yakin dengan persediaan rapi yang dibuat sebelum menjuarai di festival tari Malaysia peringkat negeri baru-baru ini, Pratama Legacy mampu mencapai misi itu, terutama kategori tarian etnik kreatif dan tradisional.
Mohd Jumran berharap Pratama Legacy yang sudah terkenal di Sabah dapat mengekalkan kecemerlangannya di persada kebangsaan.
“Di peringkat Sabah, Pratama Legacy memang terkenal dan dikenali ramai. Jadi kita harapkan Pratama Legacy dapat melakukan yang terbaik di Festival Tari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Khamis.